Tiga beradik terlantar sakit - Utusan Malaysia

Tiga beradik terlantar sakit

MOHD. Akmal Kamarudin (tengah) berbual dengan Wan Ali Mustaffa yang terlantar akibat angin ahmar manakala dua lagi kakaknya juga terlantar akibat masalah kesihatan di Selama dekat Larut semalam. -UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Tiga beradik di Kampung Itam, Selama dekat sini terlantar sakit menyebabkan mereka tidak mampu membayar sewa rumah yang tertunggak selama 14 bulan berjumlah RM3,500.

Keadaan itu menyebabkan mereka diminta mengosongkan rumah berkenaan.

Ketiga-tiga beradik itu ialah Rahmah Mustaffa, 64, terlantar akibat patah pinggang akibat terjatuh semasa pulang dari tempat kerja sebagai pembantu kedai makan di Selama pada Mac tahun lalu.

Adik perempuannya pula, Che Manis, 59, terlantar selepas terlibat kemalangan jalan raya di Johor  tahun lalu manakala adik lelaki bongsu mereka, Wan Ali, 54, yang bekerja sebagai pencuci kereta, diserang angin ahmar.

Keadaan itu menyebabkan mereka tidak boleh bekerja sehingga tidak mampu membayar sewa rumah sebanyak RM250 sebulan yang kini tertunggak 14 bulan berjumlah RM3,500.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd. Akmal Kamarudin yang melawat tiga beradik itu berkata,  pihaknya tidak dimaklumkan mengenai keadaan tiga beradik itu.

Mohd. Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri berkata, pihaknya hanya mengetahui keadaan tiga beradik itu daripada masyarakat sekeliling yang prihatin terhadap keadaan mereka.

“Sebaik sahaja mendapat tahu mengenai keadaan mereka, saya segera menghubungi pihak yang berkenaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal untuk mendapatkan butiran lanjut tentang tiga beradik ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, berdasarkan semakan rekod JKM dan Baitulmal, tiga beradik itu menerima bantuan bulanan.

Beliau berkata, seorang daripada mereka menerima bantuan saraan bulanan sebanyak RM300 sebulan sejak tahun 2015, diikuti seorang lagi RM400 daripada Baitulmal sejak tahun 2016.

Katanya, pada Mac lalu, JKM telah meluluskan bantuan bulanan RM300 untuk seorang lagi tiga beradik itu.

“Saya difahamkan tiga beradik ini tidak mahu diletakkan di rumah kebajikan, jadi, kita ikhtiarkan untuk mereka mendapatkan  sebuah tapak rumah bagi membina sebuah rumah di bawah Baitulmal,” katanya.

Menurutnya, Baitulmal juga akan menjelaskan tunggakan sewa rumah berjumlah RM3,500 di bawah Skim Bantuan Gharimin.

Katanya, selain itu Baitulmal akan menanggung sewa rumah RM250 sebulan sehingga tiga beradik itu mendapat rumah.

“Baitulmal juga akan bermesyuarat untuk  mempertimbangkan menanggung kos pengurusan dan perubatan ke hospital tiga beradik ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN