Purata pendapatan penduduk luar bandar meningkat 34.5 peratus - Mahdzir - Utusan Malaysia

Purata pendapatan penduduk luar bandar meningkat 34.5 peratus – Mahdzir

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 34.5 peratus peningkatan terhadap purata pendapatan penduduk luar bandar dalam tempoh 17 tahun di negara ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, data Jabatan Perangkaan itu menunjukkan peningkatan pendapatan penduduk luar bandar daripada RM1,729 pada tahun 2002 kepada RM5,004 pada tahun 2019.

Katanya, liputan bekalan elektrik di luar bandar juga meningkat daripada 84.6 peratus pada tahun 2000 kepada hampir 99 peratus pada tahun 2019, di samping data daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang mencatatkan peningkatan capaian internet di luar bandar sebanyak 83.9 peratus.

“Selain peningkatan dalam purata pendapatan, penduduk luar bandar juga mencatat peningkatan dalam aspek bekalan air di rumah yang telah meningkat daripada 74.7 peratus pada tahun 2000 kepada 84.9 peratus pada tahun 2019.

“Ini adalah bukti bahawa usaha-usaha yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah berjaya dan berhasil meningkatkan kualiti dan taraf hidup penduduk di luar bandar,” katanya dalam kenyataan, selepas hadir majlis sesi libat urus bersama Ahli Parlimen kerajaan di Bangunan Parlimen, hari ini.

Tambah Mahdzir, tumpuan kementeriannya ketika ini adalah terarah kepada program-program yang boleh meningkatkan tahap ekonomi penduduk luar bandar yang rata-ratanya terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19, selaras dengan matlamat Bajet 2022 agar dapat memberi manfaat kepada penduduk luar bandar terutamanya isi rumah golongan miskin, miskin tegar, B40 dan masyarakat Orang Asli.

“Bagi tahun 2022, kementerian juga akan terus berusaha untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk luar bandar, di mana program-program infrastruktur luar bandar akan diteruskan pelaksanaannya bagi memastikan kesejahteraan penduduk luar bandar.

“Program seperti Jalan Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Perhubungan Desa dan Program Ameniti Sosial akan diteruskan. Sebanyak RM2.44 bilion telah diperuntukkan untuk projek prasarana di luar bandar untuk tahun 2022,” katanya.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah diperuntukkan sejumlah RM10.53 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi tahun 2022.

Jumlah itu meliputi RM3.52 bilion peruntukan mengurus dan RM7.01 bilion peruntukan pembangunan.

Peruntukan itu adalah RM345 juta atau 3.39 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2021. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya