KOTA TINGGI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu menjadi pencetus kepada seorang wanita di Felda Simpang Waha, di sini mengusahakan perusahaan piza sejuk beku.
Suliza Suriat, 52, berkata, dia tidak menyangka sambutan diterima amat menggalakkan sehingga mencecah 40 kotak yang dijual sehari.
Katanya, dengan harga murah yang ditawarkan, bersesuaian dengan pelanggannya yang merupakan penduduk setempat, membuatkan ramai menempah untuk meraikan majlis hari jadi, jamuan keluarga selain untuk dimakan di rumah.
“Masa PKP tahun lepas banyak masa terluang jadi saya beritahu anak hendak buat piza. Kami pun cuba dan alhamdulillah kerana di sini kami satu-satunya yang menjual piza, jadi sambutan amat baik.
“Jika dahulu berbekalkan ketuhar biasa dan hanya boleh bakar piza sekeping dalam satu masa, kini kami dapat tingkatkan lagi kuantiti kepada empat keping dalam 10 minit selepas menerima bantuan peralatan daripada pihak Pejabat Pertanian Kota Tinggi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ibu kepada lima orang anak itu berkata, sambutan ke atas piza sejuk beku juga amat menggalakkan kerana orang ramai boleh simpan dan makan pada bila-bila masa.
Terdahulu, Suliza menerima Sijil Program Perintis Keusahawanan Pertanian Johor (PKPJ) yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain.
Turut hadir, Pegawai Pertanian Daerah Kota Tinggi, Mohd Hafizh Hussain. -UTUSAN ONLINE