SUNGAI PETANI: Pertubuhan Keturunan Derbar Raja mahu memartabatkan keturunan Maharaja Derbar Raja Sultan Muzzafar Shah 1 yang merupakan Sultan Kedah pertama yang dilantik dari tahun 1136 hingga 1179.
Yang Dipertuanya, Derbar Raja Husaini Derbar Raja Yaacob, 56, berkata, melalui pertubuhan itu, beliau mengharapkan dapat mengangkat semula keturunan tersebut selepas didakwa telah lama ‘hilang’ sebelum ini.
Menurutnya, pertubuhan tersebut yang dianggotai dalam kalangan ahli keluarganya sahaja diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Pulau Pinang pada 2019 lalu.
Malah, dakwanya, beliau pula merupakan generasi ke-13 keturunan Derbar Raja tersebut.
“Bagaimanapun penubuhan pertubuhan itu tiada kaitan dengan sebarang tuntutan kepada pemerintahan kesultanan sekarang sebaliknya ingin mengetengahkan keturunan Derbar Raja supaya lebih dikenali selepas ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau memberitahu, keturunan Derbar Raja ini juga dipercayai mempunyai kaitan dengan Tamadun Kedah Tua yang ditemukan di Sungai Batu, Merbok pada 2009.
“Malah di Makam Sultan Muzzafar Shah I di Kampung Langgar, Mukim Bujang, Merbok juga dicatatkan gelaran Maharaja Derbar Raja II.
“Berdasarkan kajian, nama Sultan Muzzafar Shah I sebelum memeluk agama Islam ialah Phra Ong Mahawangsa dan diislamkan oleh Sheikh Abdullah Al-Yamani pada 1136 sebelum mangkat pada 1179,” ujarnya.
Husaini berkata, penubuhan pertubuhan tersebut diharapkan dapat membuktikan masih terdapat keturunan daripada Tamadun Kedah Tua di negeri ini pada masa hadapan.
Jelasnya, sebelum ini, kebanyakan pengkaji sejarah Tamadun Kedah Tua termasuk luar negara tidak dapat bertemu dan mengenali keturunan Derbar Raja.
“Saya sedia tampil memberi kerjasama kepada pengkaji sejarah yang mahu membuat kajian mengenai keturunan Derbar Raja,” katanya. -UTUSAN ONLINE










