Najis tikus, sisa minyak cemarkan roti, kilang diarah tutup  - Utusan Malaysia

Najis tikus, sisa minyak cemarkan roti, kilang diarah tutup 

MOHD. WAZIR KHALID menunjukkan najis tikus yang dijumpai di atas plastik pembungkus roti dalam pemeriksaan di sebuah premis di Jalan Kedah, Georgetown, Pulau Pinang hari ini. -UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Najis tikus di atas plastik bungkusan roti dan sisa minyak tepu yang boleh menyebabkan pencemaran makanan pula menitik ke atas roti yang baharu dimasak. 

Selain itu, peralatan membuat roti didapati ‘berkerak’, malah, pemilik juga meletakkan roti yang siap dimasak di dalam kotak-kotak yang mempunyai tanda halal walaupun kilang itu tidak pernah memohon sijil halal daripada pihak berkuasa. 

Itu keadaan di sebuah kilang roti yang beroperasi sejak 50 tahun lalu di Jalan Kedah di sini yang diarahkan tutup dua minggu oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) hari ini kerana tidak menepati standard keselamatan dan kualiti makanan. 

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP, Mohd. Wazir Khalid berkata, pihaknya mendapati tahap kebersihan di premis itu tidak mencapai piawaian di bawah Program Jaminan Keselamatan Makanan yang boleh menyebabkan pencemaran dan keracunan makanan. 

“Kilang roti ini pernah diberikan amaran tahun lalu kerana operasi mereka tidak menepati standard kebersihan yang ditetapkan. 

“Kali ini, menerusi serbuan yang dijalankan, kita dapati ada sisa najis tikus di atas plastik bungkusan roti serta terdapat sisa minyak tepu di atas rak pembakar roti. 

“Malah, pemilik turut menggunakan logo halal yang mengelirukan dan mengedarkan roti ini di seluruh negeri ini,” katanya ketika ditemui di Jalan Kedah di sini hari ini. 

Menurut Mohd. Wazir, pemilik juga diminta membuang kesemua plastik bungkusan roti itu yang dicemari najis tikus berkenaan kerana boleh memudaratkan kesihatan orang ramai. 

Dalam perkembangan lain, Mohd. Wazir berkata, pihaknya turut mengarahkan sebuah kedai pembuatan mi yang beroperasi sejak 80 tahun lalu di Jalan Pintal Tali di sini, ditutup dua minggu kerana pelbagai isu membabitkan keselamatan dan kebersihan makanan. 

“Pemiliknya didapati meletakkan makanan yang telah siap diproses di atas lantai dan produk ini juga tidak mempunyai label. 

“Kita pernah menyerbu kedai ini juga pada tahun lalu dan memberi amaran supaya mereka meningkatkan mutu kebersihan, namun ia tidak diikuti,” katanya. 

Tambahnya, arahan penutupan kedua-dua premis dibuat di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983, dan pihaknya turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah hampir RM3,000 kepada kedua-dua premis. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya