GAZA: Sekurang-kurangnya 197 nyawa terkorban akibat kebuluran di Semenanjung Gaza, termasuk 96 kanak-kanak, menurut kenyataan terbaru daripada pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Keadaan kini digambarkan sebagai “apokaliptik”, dengan ribuan penduduk yang kelaparan terpaksa mempertaruhkan nyawa mendapatkan bantuan makanan di kawasan runtuhan dan berbahaya.
Hospital di Gaza terus merekodkan kematian akibat kekurangan makanan dan zat, termasuk empat lagi kematian pada Khamis – dua daripadanya kanak-kanak.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih 12,000 kanak-kanak bawah usia lima tahun kini mengalami malnutrisi akut, iaitu jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan di wilayah tersebut.
Pada Rabu, hanya 92 trak bantuan kemanusiaan berjaya memasuki Gaza, jauh daripada jumlah 500 hingga 600 trak sehari yang diperlukan untuk menampung keperluan asas dua juta penduduk.
Pengagihan bantuan turut terganggu akibat kekacauan, rampasan, dan risiko keselamatan, yang menurut beberapa pertubuhan kemanusiaan didakwa berlaku dengan campur tangan disengajakan oleh pihak Israel.
Penduduk melaporkan sebahagian bantuan udara tersangkut di bangunan runtuh dan terlalu berbahaya untuk diambil.
Organisasi Doctors Without Borders (MSF) menyuarakan kebimbangan serius, mendakwa lebih 1,300 penduduk Palestin terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan makanan di pusat agihan yang disokong oleh Amerika Syarikat dan Israel.
Dalam satu kenyataan keras, MSF menyifatkan keadaan itu sebagai “pembunuhan terancang dan tindakan penyahmanusiaan terhadap orang awam tidak bersenjata”, sambil menggesa agar pusat bantuan GHF ditutup serta-merta kerana dianggap membahayakan penerima bantuan.
Krisis kemanusiaan di Gaza kini berada di tahap paling kritikal sejak konflik bermula. Agensi-agensi antarabangsa, termasuk PBB dan WHO, menyeru agar akses tanpa halangan terhadap bantuan kemanusiaan dibenarkan segera, serta gencatan senjata dilaksanakan bagi mengelakkan lebih banyak kematian di kalangan penduduk awam.









