Bekas pekerja Singapura gesa percepat pembukaan sempadan darat - Utusan Malaysia

Bekas pekerja Singapura gesa percepat pembukaan sempadan darat

Peningkatan kes Covid-19 boleh mempengaruhi langkah-langkah yang lebih tegas di pintu sempadan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Rata-rata bekas pekerja yang pernah berkelana di Singapura sebelum ini menggesa agar pembukaan sempadan darat kedua-dua negara turut dipercepat bagi membolehkan mereka kembali mencari rezeki di seberang tambak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sazwani Sani, 24, berkata, meskipun hanya bekerja sebagai pembantu kedai ketika di sana, namun gaji yang mampu diperolehi jika ditukar kepada matawang Malaysia mampu mencecah RM4,000 sebulan.

SAZWANI SANI

“Sudah lebih dua tahun saya bekerja di Singapura. Ekoran penutupan sempadan akibat Covid-19 saya kini bertukar kerja di syarikat pos di sini.

“Memang amat berbeza perbandingan gajinya. Meskipun tidak dinafikan kerja di sana perlu bangun awal menempuh kesesakan trafik namun bagi saya ia berbaloi.

“Tambahan pula saya ada seorang anak. Jika bekerja di Singapura saya mampu membuat simpanan lebih. Kalau ada peluang lagi memang saya kembali kerja di sana,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong memaklumkan, Malaysia dan Singapura akhirnya dapat memulakan kembali perjalanan rentas sempadan melalui udara menggunakan Lorong Perjalanan Vaksinasi (VTL), mulai 29 November ini.

Beliau yang menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan, perkara itu berikutan kedua-dua negara ini telah mencapai kemajuan yang baik dalam pemberian vaksin dan menguruskan wabak Covid-19.

Katanya, perkara itu akan membantu memulihkan ekonomi, hubungan antara rakyat kedua-dua negara dan mengukuhkan perkongsian dua hala.

Setakat ini, sempadan Malaysia-Singapura yang merupakan laluan darat paling sibuk di dunia telah ditutup sejak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu ekoran Covid-19.

Bagi Azmin Sakur, 31 berkata dia juga berharap agar pembukaan sempadan darat dapat dipercepatkan.

AZMIN SAKUR

Katanya sepertinya yang telah berumah tangga dan memiliki dua anak serta mempunyai pelbagai komitmen membuatkan dia terpaksa lebih bekerja keras selepas tidak bekerja di Singapura.

“Jika dahulu gaji bila ditukar matawang Malaysia mampu mencecah RM5,000. Bila kerja di negara sendiri agak sukar untuk dapatkan jumlah itu.

“Ditambah pula tanggungan semakin bertambah. Paling tinggi gaji yang boleh diperolehi di Malaysia pun sekitar RM1,200.

“Sebagai ketua keluarga saya amat berharap dapat kembali bekerja di Singapura agar dapat meraih kembali pendapatan seperti sebelum ini,” katanya yang sebelum ini bekerja dalam bidang perhotelan di Singapura. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN