Bapa mahu jenazah anak dikebumi segera - Utusan Malaysia

Bapa mahu jenazah anak dikebumi segera

SOPA Wazi menunjukkan gambar Nor Fahizatul Syahira yang ditemukan mati di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang, Taiping, Perak, Oktober lalu. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Bapa mangsa bunuh Nor Fahizatul Syahira, 32, yang mayatnya ditemui reput di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang, Taiping, Perak pada 27 Oktober lalu berharap jenazah anaknya dapat dikebumikan segera.

Menurut Sopa Wazi, 56, kejadian pembunuhan itu telah sebulan berlalu, namun pihak keluarga masih menunggu kebenaran untuk membawa pulang jenazah anak sulungnya untuk dikebumikan.

“Kita bersetuju dengan proses bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematiannya dan sehingga sekarang mayat anak belum dibenarkan untuk dituntut.

“Kami ingin jenazahnya dikebumikan segera kerana ia mampu menghilangkan tekanan yang terpaksa ditanggung keluarga sebaik mengetahui anak saya dibunuh,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sopa yang merupakan pemandu teksi juga berharap agar suspek dikenakan hukuman setimpal sekiranya terbukti dia bersalah.

“Saya sekeluarga hanya akan tenang sekiranya suspek dikenakan hukuman berat,” ujarnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang penganggur berhadapan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping atas tuduhan membunuh teman wanita yang mayatnya ditemui reput di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang, bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Khairul Nizam Ibrahim, 34, didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Norfahizatul Syahira Sopa, 32, di sebuah bilik di Jalan Taman Mawar, Simpang pada pukul 2 petang, 4 Oktober lalu.

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki di Simpang, Taiping pada 29 Oktober lalu lalu berikutan penemuan mayat wanita yang telah reput di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang.

Lelaki yang juga penganggur itu ditahan selepas dua hari penemuan mayat mangsa. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN