Sistem PropTech jimat faedah pinjaman perumahan

Sistem PropTech jimat faedah pinjaman perumahan

Muhamed Maidin (kiri) dan Noordin Abbas bertukar dokumen selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Majlis Pelancaran Sistem Baharu Alifpay di Bangunan Getah Asli, semalam. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sistem pengu­rusan gadai janji berasaskan teknologi kewangan, PropTech diyakini mampu membantu peminjam perumahan menjimatkan bayaran faedah serta memendekkan tempoh pinjaman tanpa menukar bank atau struktur pinjaman sedia ada.

Pengerusi Yayasan Proptech, Datuk Noordin Abbas berkata, pendekatan digunakan adalah melalui penjadualan semula bayaran bulanan yang dioptimumkan menggunakan teknologi digital, berbeza daripada kaedah konvensional perbankan.

Katanya, peminjam masih membuat bayaran terus kepada bank seperti biasa, namun jumlah bayaran bulanan akan diselaraskan mengikut jadual yang dikira oleh sistem berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai contoh, jika ansuran asal RM3,000 sebulan, sistem ini mungkin mencadangkan bayaran sekitar RM3,200 atau RM3,300.

“Penambahan kecil ini memberi kesan besar kepada pengurangan faedah keseluruhan dan tempoh pinjaman perumahan yang dibuat,” katanya selepas majlis menandatangani

Memorandum Persefahaman (MoU) Yayasan Proptech dan Alifpay Group Sdn Bhd, di ibu negara, semalam.

Turut hadir Pengasas Yayasan Proptech, Dr. KM Cheong dan Ketua Pegawai Operasi Alifpay Group, Shaharul Mirza.

MoU itu bertujuan menjalin kolaborasi antara Yayasan Proptech selaku pengendali Sistem Pengurusan Pinjaman Perumahan (SPPP) yang akan menggunakan e-dompet Alifpay sebagai gerbang pembayaran bagi segala bayaran langganan SPPP.

SPPP mempunyai objektif membantu peminjam perumahan mengurangkan bayaran faedah serta tempoh bayaran balik pinjaman. Sistem yang memanfaatkan teknologi digital itu dijangka dapat membantu menstabilkan industri pinjaman perumahan serta membantu peminjam perumahan daripada terdedah kepada risiko diklasifikasikan sebagai pinjaman tidak berbayar.

Noordin berkata, dalam tempoh lima tahun pertama pinjaman perumahan, antara 85 hingga 87 peratus bayaran adalah faedah, manakala antara tahun keenam hingga kesepuluh, kadar faedah masih tinggi iaitu sekitar 79 hingga 83 peratus.

“Oleh itu, pengoptimuman bayaran pada peringkat awal pinjaman amat penting kerana ia boleh mengurangkan beban faedah jangka panjang,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×