Asnaf jadi bidan tingkat pendapatan keluarga - Utusan Malaysia

Asnaf jadi bidan tingkat pendapatan keluarga

KETUA Penolong Pengarah Bahagian Agihan, Jabatan Zakat MAINS, Mahadi Ali (kiri) menyerahkan sijil kepada salah seorang peserta Program MyBidan di Port Dickson baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebagai usaha menambah pendapatan keluarga, seramai 20 asnaf menyertai program meningkatkan kemahiran diri dalam bidang perbidanan anjuran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Program MyBidan itu adalah inisiatif baharu diwujudkan MAINS untuk disertai asnaf yang merupakan penerima bantuan bulanan daripada majlis agama Islam berkenaan.

Ketua Unit Profil dan Keusahawanan Asnaf, Jabatan Zakat MAINS, Nursyahidah Abu Bakar berkata, menerusi program tersebut, peserta diberikan latihan untuk mengurut wanita yang sedang berpantang dan bimbingan berkaitan pemasaran.

“Sasaran MAINS untuk menjadi asnaf ini sebagai individu yang boleh pula menjadi penyumbang zakat kepada masyarakat selepas ini,” katanya ketika kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menerusi program julung kali yang diadakan empat hari itu, peserta didedahkan dengan ceramah strategi perniagaan, ceramah amalan berpantang, pengenalan anatomi dan fisioterapi, latihan pelbagai jenis urutan serta ujian amali dan praktikal.

Peserta juga akan menerima latihan lanjut selama enam bulan yang turut dikendalikan Beedan Network.

Menurut beliau, MyBidan mendapat kerjasama daripada Beedan Network yang memberi peluang kepada asnaf MAINS untuk menguasai kemahiran perbidanan.

“Program ini juga merupakan salah satu usaha MAINS untuk membantu asnaf ini menceburi bidang keusahawanan sekali gus dapat membantu meningkatkan pendapatan serta ekonomi mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN