KULIM: “Saya bersyukur arwah suami meninggal dunia sebagai seorang Muslim selepas dua minggu memeluk agama Islam.”
Itulah luahan Nurul Aisyah Abdullah, 40, yang kematian suaminya, Muhammad Saufi Abdullah, 41, selepas mereka memeluk agama Islam pada 22 Mei lalu.
Katanya, dua anak mereka, Muhammad Aidil, 13, dan Muhammad Fitri, 11, serta ibu mentuanya berusia 68 tahun turut memeluk agama Islam pada hari berkenaan.
Katanya, sebelum ini suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori beragama Hindu dan dia pula bernama Nur Aisyah Alice berasal dari Indonesia beragama Kristian.
“Suami saya meninggal dunia di Hospital Kulim pada 18 Jun lalu selepas mengadu sakit dada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tiong 2 di sini, semalam.
Menurut Nurul Aishah, dia yang berkahwin dengan arwah suaminya sejak 20 tahun lalu reda dengan ujian daripada Allah SWT selepas kematian suami ketika baru memeluk beragama Islam.
Namun, tambahnya, dia tetap bersyukur hasrat arwah suaminya untuk memeluk Islam sejak sekian lama tertunai sebelum meninggal dunia.
“Malah, arwah meminta saya mendalami ajaran Islam dan ingin memastikan dua anak lelaki mereka itu belajar di sekolah tahfiz,” ujarnya.
Wanita itu berterima kasih kepada Jawatankuasa Surau Taman Tiong di sini yang banyak membantu keluarganya mendalami agama Islam dan memberi pelbagai sumbangan selepas kematian arwah suaminya.
Katanya, dia kini menyara dua anak dan ibu mentuanya dengan bekerja di kedai runcit dengan pendapatan sebanyak RM700 sebulan.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga tersebut boleh dihubungi Nurul Aishah di talian 018-4040957 dan 016-6459743. -UTUSAN ONLINE