JERANTUT: Aspek pelindungan pengguna berkaitan data peribadi dan keselamatan siber akan diberikan keutamaan dalam penambahbaikan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 1998.
Pengerusi SKMM, Dr. Fadhullah Suhaimi Abdul Malek berkata, suruhanjaya itu kini sedang meneliti akta sedia ada iaitu bagaimana untuk memberikan perkhidmatan yang lebih sempurna kepada pengguna termasuk dari segi perlindungan dan keselamatan.
“Kita juga meneliti beberapa (frasa) peraturan yang boleh membantu SKMM dan agensi keselamatan yang lain untuk menangani isu keselamatan siber.
“Kita memerlukan sedikit masa untuk memperkemaskan frasa laporan akta ini termasuk cara penulisan (bahasa) melibatkan perundangan sebelum dibentangkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan kemudiannya dibawa kepada perhatian pihak Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan sistem rangkaian jalur lebar di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling di sini semalam.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.
Annuar sebelum ini dilaporkan berkata, beberapa frasa dalam Akta SKMM 1998 (Akta 589) perlu dikaji semula bagi memberikan aspek perundangan yang lebih berkesan dalam menangani isu keselamatan siber.
Kata menteri berkenaan, akta sedia ada telah wujud lebih 20 tahun lalu yang memerlukan SKMM membuat penambahbaikkan berasaskan undang-undang yang bersesuaian dengan keadaan semasa.
Sementara itu, beliau berkata, penduduk lima buah kampung di Ulu Tembeling dan sekitarnya menikmati capaian internet dari 3G kepada 4G berikutan lima menara telekomunikasi telah dan sedang dinaiktaraf bagi memberi liputan lebih baik kepada pengguna.
Beliau berkata, beberapa menara baharu akan didirikan di samping lima menara sedia ada yang terletak di Kampung Gusai, Kampung Mat Daling, Kampung Kuala Sat, Kampung Semena dan Kampung Bantal.
Jelasnya, kualiti perkhidmatan serta kelajuan internet begitu baik selepas dinaiktaraf daripada rangkaian 3G kepada 4G dan penduduk selesa dengan kemudahan yang disediakan kepada mereka.
“Lebih menarik usaha menaiktaraf menara telekomunikasi dibuat lebih awal daripada jadual yang sepatutnya bermula pada November tahun ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE