Godam: Pengguna ambil remeh keselamatan siber - Utusan Malaysia

Godam: Pengguna ambil remeh keselamatan siber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun ancaman siber di negara ini masih terkawal, pelbagai pihak perlu bekerjasama menangani jenayah itu yang semakin kompleks ekoran evolusi teknologi.

Bercakap kepada kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahad berkata, jenayah itu berlaku kerana sikap sesetengah pihak yang tidak peka dan memandang remeh kepentingan keselamatan siber.

Katanya, pengguna tidak mengambil langkah sewajarnya untuk memperkukuh sistem rangkaian perkhidmatan dan tidak melaksanakan amalan terbaik bagi melindungi sistem tersebut.

“Pengguna juga tidak melaksanakan amalan terbaik sewaktu menggunakan teknologi sebaliknya mereka menggunakan teknologi secara negatif, tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.

“Malah ada antara pengguna bersikap cuai dengan berkongsi kata laluan atau menggunakan password yang senang untuk diceroboh,” katanya semalam.

Semalam, Utusan Malaysia mendedahkan, purata empat hingga lima laman web digodam sehari apabila CSM menerima laporan kira-kira 2,551 laman web ‘diceroboh’ bagi tempoh 20 bulan tersebut.

Setiap penggodam mempunyai motif tertentu antaranya bagi mendapatkan maklumat sulit atau data-data sebelum mengaut keuntungan dengan menjual kepada pihak bertanggungjawab.

Malah, ada antara penggodam yang sanggup memeras ugut selain bertujuan menjatuhkan imej dan reputasi individu atau organisasi tertentu.

Dalam pada itu, Dr. Amiruddin berkata, pengguna tidak seharusnya mengabaikan ciri-ciri keselamatan akaun media sosial malah ada antara mereka tidak mengambil peduli saranan diberikan pengendali laman tersebut.

Ujar beliau, penggodaman berlaku apabila kegagalan atau kecuaian individu yang ditugaskan menjaga atau mengurus sistem rangkaian komputer di sesebuah organisasi.

“Perkara ini berlaku kemungkinan mereka tidak mempunyai kepakaran atau kurangnnya pendedahan dari segi latihan.

“Selain itu, penggunaan perisian seperti antivirus yang tamat tempoh dan pelindung jaringan komputer yang tidak dinaik taraf juga antara sebab rangkaian tersebut mudah dibolosi dengan serangan siber berteknologi tinggi,” kata beliau.

Tambahnya, bagi membendung jenayah itu menjadi semakin serius, pengguna digesa mematuhi dan mengamalkan langkah keselamatan terbaik dalam menggunakan laman sesawang atau aplikasi media sosial.

Jelasnya, langkah itu bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan.

“Antaranya, dengan memastikan perkakasan dan perisian dikemas kini. Pengguna juga perlu memastikan tiada kelemahan (sekuriti) yang menyebabkan laman web atau sebarang sistem berpotensi diserang dan digodam,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN