Fenomena laut pasang besar: Kampung Bagan Hailam terjejas - Utusan Malaysia

Fenomena laut pasang besar: Kampung Bagan Hailam terjejas

NG BOON LIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Hampir semua rumah di Kampung Bagan Hailam, Pelabuhan Klang di sini terjejas akibat fenomena air laut pasang besar yang berlaku sejak Khamis lalu dan disifatkan paling teruk sejak 20 tahun lalu.

Air laut yang naik sehingga mencecah paras 5.6 meter itu menyebabkan kira-kira bahagian lantai di 50 daripada 60 buah rumah lama yang dibina di kawasan paya bakau berhampiran tempat rekreasi Tanjung Harapan itu ditenggelami air hampir satu kaki.

Menurut seorang penduduk, Ng Boon Liong, 60, memberitahu kejadian antara puku 6 hingga 8 pagi dua hari pertama adalah paling teruk sehingga laluan pejalan kaki yang sudah pun ditinggikan sebelum ini ditenggelami air pasang.

“Sejak 20 tahun ini paling teruk, sudah lebih 50 tahun saya tinggal di sini, selalunya air laut pasang besar hanya akan menyebabkan lantai di ruang tamu akan tenggelam kerana kedudukannya lebih rendah.

“Tetapi, selama dua hari air pasang pada waktu pagi, melimpah sampai ke dalam bilik dan dapur merosakkan barangan elektrik seperti peti sejuk. Terpaksa beli baharu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Lu Teng Seng, 51, memaklumkan air laut pasang besar pada hari ketiga lebih rendah dan menunjukkan tanda-tanda musimnya akan berakhir.

“Semalam dengan Khamis laluan pejalan kaki tenggelam, tetapi hari ini cuma bahagian dataran yang rendah ditenggelami air. Walaupun tidak tinggi, namun air tetap masuk ke bahagian dalam tokong. Tetapi cuma sementara sahaja dalam pukul 9 pagi sudah mula surut.

Dalam pada itu, tinjauan di sekitar Pantai Kelanang di Banting, Kuala Langat pula masih mendapati masih ada pengunjung yang cuba mendekati  pantai untuk melihat fenomena itu secara dekat walaupun dilarang oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Penyelaras Skuad PANTAS Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Mazlan Abdul Manaf ketika ditemui mengingatkan orang ramai fenomena berkenaan bukanlah pesta yang boleh dikunjungi.

“Pagi ini kita mengadakan operasi di Pantai Morib, Pantai Kelanang, Pantai Cunang  bagi memastikan orang ramai tidak berkumpul di pantai-pantai di bawah seliaan MPKL.

“Kita telah memberi arahan untuk pengunjung yang datang seawal pukul 7 pagi beredar daripada kawasan pantai. Kita tidak mahu sebarang kemalangan berlaku sekiranya air tiba-tiba naik menderu,” jelasnya.

Di Kuala Selangor pula, Pegawai Daerah dan Tanahnya, Mohd. Faizal Abdul Raji memberitahu banjir air masin dikesan berlaku dekat sekitar bandar Tanjong Karang pada pagi semalam, namun tiada bantuan kecemasan diperlukan.

“Orang awam sedia maklum bahawa banjir mungkin terjadi apabila berlaku fenomena air pasang besar pada bulan Oktober yang menyebabkan air laut di Pantai Remis dan Tanjong Karang meningkat,” katanya ketika ditemui.

Sementara di Sungai Besar, Sabak Bernam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis memaklumkan pemantauan dilakukan di sekitar Bagan Sungai Besar, Sungai Haji Dorani dan Bagan Sungai Burong.

Menurutnya, terdapat limpahan berlaku di jalan utama, walau bagaimanapun keadaan terkawal dan tiada pemindahan mangsa dilakukan.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan jangkaan air pasang besar berlaku pada awal Oktober. Justeru, beberapa agensi kerajaan termasuk Majlis Perbandaran Klang (MPK) melalui Pasukan Tindakan Segera (Skuad Pantas) mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, MPKL sebelum ini dilaporkan menutup lapan pantai tumpuan pengunjung di sekitar kawasan Kuala Langat terutama di Morib dan Banting bagi memelihara keselamatan orang awam. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN