GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Kedah memberi perhatian serius serta mengambil tindakan segera membaiki jambatan yang runtuh di Kampung Setol dan Kampung Pauh, Yan akibat ancaman kepala air Gunung Jerai dua bulan lalu.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, masalah melibatkan lebih 500 penduduk di kedua-dua kampung itu bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian mereka tetapi turut menyulitkan pelajar untuk berulang-alik ke sekolah.
Jelasnya, masalah itu perlu diberi keutamaan untuk diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Kedah kerana melibatkan kehidupan harian penduduk terbabit yang perlu dipastikan selamat dan selesa.
Tambah Mohideen, pihaknya difahamkan berikutan bencana kepala air dahsyat yang memusnahkan banyak kemudahan awam, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM75 juta bagi membaiki kerosakan yang berlaku.
“Namun, sehingga kini tidak ada tanda-tanda jambatan runtuh di kampung tersebut hendak dibaiki atau dibina semula.
“CAP bimbang dan bersimpati dengan penduduk-penduduk yang terlibat dan jika masalah ini berterusan pelbagai kesusahan terpaksa mereka hadapi pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan lebih 500 penduduk di Kampung Setol dan Kampung Pauh, Yan, Kedah merayu kerajaan membaiki semula sebuah jambatan yang runtuh ekoran tragedi kepala air pada 18 Ogos lalu.
Jambatan sepanjang kira-kira 10 meter itu merupakan jalan pintas kepada penduduk termasuk pelajar di kampung berkenaan untuk berulang-alik ke pekan Yan dan ke sekolah.
Tambah Mohideen, CAP menggesa Kerajaan Negeri Kedah; jabatan dan agensi yang terlibat menyiasat masalah yang dihadapi penduduk ekoran jambatan runtuh itu dan mengambil tindakan segera bagi menanganinya. -UTUSAN ONLINE