Khoo & Pantai Cempaka

Khoo & Pantai Cempaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 Pantai Cempaka – 24 Jun 2023
Matahari muncul di ufuk timur, serbuk jingga bertaburan di dada laut. Buih-buih yang dulu mencium tapak kaki manusia, kini seperti menjauhkan diri. Keasyikan deruan ombak juga sayup, tidak lagi berdesir di cuping telinga. Tiada lagi ketam dan kerang berkejaran di dataran yang terbentang sepanjang dua kilometer.

Tanah bercampur dengan pasir telah mengambil posisi pantai sebelum ini. Ya, pejal, tidak berubah bentuk seperti pasir. Semuanya bertukar menjadi daratan.

Rumput tumbuh bertompok-tompok. Liar menjalar. Tempatnya bukan di situ sebenarnya. Terlalu asing. Projek penambakan Pantai Cempaka sudah tiga puluh peratus siap. Namun terhenti.

Khoo memandang jauh ke arah ombak. Bayu pagi mengusap pipi dan titis air matanya. Pantai ini menyimpan khazanah alam dan cerita tentang keteguhan seorang insan.

 Balai Raya Kampung Cempaka – 12 Februari 2023
“Tuan-tuan, pihak pemaju akan membayar pampasan lumayan kepada semua nelayan yang terlibat. Jangan risau, seorang akan dapat puluhan ribu,” ujar Nazmi, pegawai majlis perbandaran yang menguruskan pembangunan ini.

Mulut Pak Duan seperti gua. Terbuka luas setelah mendengar angka-angka yang dilontarkan oleh Nazmi.

Matanya terbeliak, mungkin membayangkan wang kertas yang bakal diisi di dalam bag plastik dan pulang ke rumah dengan gembira menjadi orang kaya segera.

Tetapi tidak buat Khoo, mahasiswa di dalam jurusan Sains Samudera di salah sebuah universiti awam di negara ini.

Dengan kulit muka yang kemerah-merahan, pemuda itu tidak teruja mahupun tersenyum dengan cadangan Nazmi. Khoo, anak muda yang membesar di Pantai Cempaka sering membantu ayahnya di laut setiap kali cuti semesta. Cintanya pada laut mendalam. Tidak dapat digambarkan oleh kata-kata.

“Saya bangkang!” Khoo mengangkat tangan.

Pak Duan terkejut. Matanya melilau mencari siapa gerangan yang mengangkat tangan itu. Terjengket-jengket orang tua yang memakai semutar di kepala.

“Cis! Anak Tan ni. Apa menyibuk dia datang mesyuarat?” Mulut Pak Duan terkumat kamit seperti melempar kemarahan kepada Khoo yang berdiri di tepi tingkap, kerusi terakhir di barisan ke dua dengan berkemeja kotak-kotak warna merah dan hitam.

Pemuda yang fasih berbahasa Melayu itu berdiri tegak. Pandangan matanya tepat ke arah meja yang dipenuhi wakil pemaju, ADUN dan pegawai dari majlis perbandaran.

Nazmi cuba bertenang. Namun manik-manik jenih mula lahir di dahi. Senyuman manis di bibir tidak lagi melengkung. Hilang sepantas kilat selepas mendapat bantahan dari Khoo.

“Pantai ini tidak patut ditambak. Pembangunan komersial tidak berhak didirikan di atas sebuah pantai. Untuk apa ada bangunan tinggi namun keindahan pantai dilenyapkan.”

Suara tegas melantun-lantun dari peti suara Khoo. Semua mata terarah kepada lelaki berbangsa cina ini.

“Lagi pun tiada laporan penilaian kesan alam sekeliling yang diluluskan pihak berwajip tetapi pemaju sudah mulakan penambakan. Ini jelas melanggar undang-undang,” sambung Khoo.

Seorang lelaki dalam lingkungan 50-an bangun. Tangannya mengenakan butang satu di bahagian atas pada blazer biru pekat. Jari yang putih kemerahan menggenggam pembesar suara. Kelihatan seperti seseorang yang berpengaruh di dalam syarikat pemaju.

“Saudara, niat kami ingin memodenkan kawasan ini. Sudah terlalu lama penduduk Kampung Cempaka tidak menikmati kemajuan. Dengan terbinanya pusat hiburan dan perjudian, ia bakal menarik ribuan pelancong datang, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk.”

Khoo masih berdiri. Penduduk lain rata-rata sudah berumur khusyuk mendengar. Ada juga yang bersandar sambil mata terpejam.

Di luar balai raya kelihatan sedikit gelap. Awan-awan bertukar kelabu. Daun pokok kelapa menghasilkan bunyi geseran seragam di sepanjang jalan berhadapan Pantai Cempaka. Beberapa kanak-kanak berlari bersama tali di tangan dan layang-layang masih tergantung di udara, melawan angin.

“Haaa, kau dengar tak Khoo?” Soal Pak Duan yang tiba-tiba berdiri dan memusingkan badan yang gempal ke arah kanan ruang mesyuarat, memandang pemuda dengan mata terbeliak. Tak berkelip sekali pun.

 1.5 KM dari Pantai Cempaka– 13 April 2022

Ombak menjadi sahabat hari ini. Laut seperti cermin. Pukat hanyut diturunkan oleh Tan. Panjangnya kira-kira seratus meter. Walaupun had saiz mata jaring pukat hanyut yang ditetapkan berdasarkan Peraturan-peraturan

Perikanan 1980 adalah 10 inci. Tetapi Tan memilih pukat hanyut bersaiz lapan inci sahaja. Khoo duduk di bahagian belakang sambil mengemudi enjin bot sepanjang tujuh belas kaki.

“Khoo, hampir setengah abad ayah mengabdikan di pantai ini. Dengan hasil laut inilah ayah besarkan kau dan adik-adik.”

Mulut Tan terus berkumat kamit sambil tanganya melepaskan pukat ke dalam air. Urat-urat timbul kasar di lengan Tan, seorang anak jati Kampung Cempaka.

Anak muda itu tidak berkata apa-apa. Matanya seakan-akan tertutup apabila mendongak ke atas. Wajah polos itu ditikam silau matahari.

Tekad dirinya untuk menjadi mahasiswa terbaik membuak-buak dek kerana ingin membalas kegigihan ayahnya menjaring rezeki setiap hari.

Hampir empat jam dua beranak itu di laut. Kini, bot berwarna putih itu berlabuh di jeti nelayan. Peraih sudah mula menunggu dengan wang tunai untuk ditukar dengan ikan bawal, udang dan ketam.

“Tan, kau sudah dengar ke ada pemaju hendak tambak pantai ini?” Soal Jamil, peraih yang sudah lama berurusan dengan Tan dan nelayan Kampung Cempaka.

Dahi Tan tiba-tiba berkerut. Persoalan itu tidak pernah singgah di telinga nelayan tua itu.

“Mana Pak Cik Jamil dapat berita ini?” Soal Khoo yang sedang mengangkat tong ikan ke arah lori Jamil.

“Tidak mungkinlah Jamil, pantai ini kan sumber rezeki penduduk kampung. Banyak ikan, udang, ketam berumah di sini. Kalau ditambak pantai ini, aku pasti tiada lagi hidupan di dalam laut sekitar Pantai Cempaka,” jawab Tan.

Yakin.

“Kalau jadilah nanti, aku orang pertama akan bantah,” sambung Tan.

Jamil membuka penghadang di belakang lorinya. Beberapa pekerja sudah ada di atas menyambut tong-tong ikan yang dibawa Tan dan Khoo.

“Aku dengar dari Pak Duan. Katanya, pemaju nak bagi pampasan yang tinggi untuk semua nelayan. Majlis perbandaran dan adun kawasan pun sudah bersetuju.”

Mata Jamil melihat nombor yang lahir di atas penimbang. Otaknya laju mencongak jumlah wang yang perlu dibayar kepada Tan.

“Mana mungkin Jamil, Dato’ Lim sudah beberapa kali berjanji untuk melindungi pantai ini.

“Baru saja dia berucap. Kalau tidak silap aku, ketika ceramah pilihan raya.” Peluh-peluh memeleh disapu Tan dengan kain semutar. Nafasnya sedikit tercungap-cungap kepenatan.

Jamil berjalan ke pintu pemandu yang terbuka luas.

Pang!

Pintu ditutup rapat. Lehernya memaling ke arah kanan.

“Tan, orang politik bukan boleh dipercayai sangat.” Ketawa kecil melompat keluar dari mulut Jamil sambil perlahan lorinya beredar meninggalkan jeti nelayan dan dua beranak itu dengan satu persoalan.

 Hotel Kristal – 10 Ogos 2022

Asap berkepul-kepul memenuhi bilik V.I.P yang terletak di bahagian bawah hotel lima bintang itu.

Beberapa orang sedang mengelilingi meja bulat yang dipenuhi makanan lazat dan minuman beralkohol.

“Dato’ Lim, I dengar ada bantahan daripada penduduk Kampung Cempaka. I ingat you sudah selesaikan hal ini.” Lelaki 50-an itu menghisap curut di tangan. Dihempus perlahan ke arah Dato Lim dan Pak Duan.

Dato’ Lim menarik bibir ke atas. Satu lengkungan dengan bunyi ketawa kecil perlahan keluar. Matanya memandang ke arah lelaki 50-an.

“You jangan risau, Pak Duan akan uruskan seorang penduduk itu.” Tangannya menepuk-nepuk bahu Pak Duan yang duduk bersebelahannya.

“Ya Dato’, ya,” sahut Pak Duan dengan sengih tumbuh meliar di mukanya.

“Baik, I percaya kali ini. Ingat, jangan gagal! Duit I sudah bagi seperti apa yang Dato’ minta,” tegas kata-kata yang terpacul dari lelaki 50-an itu.

“Dont worry, i akan pastikan lelaki itu tidak berbunyi lagi.”

Ketawa saling bersahutan dan melantun-lantun di dalam bilik VIP Hotel Kristal.

“Pak Duan, minum ini.” Lelaki 50-an itu menunjukkan botol mengandungi arak berkualiti tinggi.

“Maaf tuan, haram.” Pak Duan tersipu-sipu malu menyebut hukum itu sambil orang di sekeliling terbahak-bahak ketawa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×