KUALA TERENGGANU: Kontroversi isu perkauman yang dicetuskan Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim dianggap sudah selesai susulan permohonan maaf dan peletakan jawatan pemimpin berkenaan.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap Borhanuddin di atas keceluparannya mengeluarkan kenyataan merendah-rendahkan individu atau kaum lain dalam laman sosial Facebook.
“Saya rasa amat dukacita apabila seorang pemimpin politik bercakap tentang perkauman, tetapi, dia sudah pun meminta maaf dan sanggup meletakkan jawatan, jadi kita tutup kes ini.
“Biarlah kes ini jadi pengajaran kepada yang lain cuma di pihak parti, saya menganggap ia selesai,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pecah tanah pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa.
Semalam, Borhanuddin menerusi surat yang tular dalam media sosial memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung status perkauman terhadap pemain badminton negara, S. Kisona sekali gus sukarela melepaskan jawatannya demi menjaga nama baik parti.
Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, walaupun kes berkenaan dianggap selesai di pihak Bersatu, namun, Borhanuddin masih berdepan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berikutan laporan polis yang dibuat beberapa pihak.
Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan rakyat negara ini agar tidak mencetuskan sebarang perbuatan yang boleh menggugat keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara serta kaum.
“Sudah beberapa kali saya mengeluarkan kenyataan tentang isu perkauman ini, jadi, saya minta rakyat memahami tanggungjawab masing-masing kerana kita hidup dalam negara berbilang bangsa. Seharusnya, semua pihak menghayati konsep Keluarga Malaysia yang diasaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya. -UTUSAN ONLINE