KANGAR: Hidupan laut bernilai tinggi terutama ikan lumba-lumba dan penyu mungkin tidak akan dapat dilihat lagi di perairan negara andai masalah pencemaran sampah di laut dan pantai negara ini tidak diatasi segera.
Kesan awal kepada masalah itu sudah dapat dilihat sekarang apabila enam insiden ikan lumba-lumba ditemukan terdampar di pesisiran pantai Kuala Perlis sepanjang bulan ini dengan tiga darinya tidak dapat diselamatkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas Pencinta Hijau dan Hidupan Liar Perlis (PNW), Syamil Abd. Rahman berkata, fenomena itu menimbulkan persoalan sama ada perairan negara ini termasuk di Pulau Langkawi, Kedah selamat untuk hidupan marin.
Katanya, kewujudan sampah hanyut di perairan Langkawi selain di pesisir pantai di sini mungkin mengelirukan ikan berkenaan dengan menyangka sampah terbabit khususnya botol adalah sumber makanan.
“Ikan berkenaan akan mengejar sampah tersebut hingga akhirnya terdampar di pantai dan tidak mampu berenang kembali ke tengah laut kerana mungkin air surut ,” katanya.
Antara yang ditemukan dalam tempoh tersebut ialah jenis Bottlenose, Irrawaddy, Indo Pacific Humpback Finless Porpoise dan Paus Kogia.
Syamil memberitahu, jumlah penemuan tersebut adalah yang direkodkan dan belum termasuk kes yang ditemukan nelayan dan tidak dilaporkan.
Katanya, pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh mengenai punca kematian dan punca haiwan marin itu terdampar di pesisir pantai sejak kebelakangan ini bagi memastikan Perlis tidak hilang aset marin yang digemari ramai.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 13,000 kilogram sampah dikutip di sepanjang pesisir pantai Kuala Perlis sehingga Kuala Sanglang sejauh 13 kilometer setiap minggu dengan 80 peratus melibatkan plastik seperti botol.
Sementara itu, pensyarah kanan Teknologi Marin, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Rosnani Nazri berkata, sisa pepejal di perairan boleh mengganggu ekosistem rantaian makanan yang bukan sahaja melibatkan ikan lumba-lumba tetapi juga hidupan lain.
“Apabila sampah terlalu banyak, hidupan ini akan ingat itu adalah sumber makanan. Di sini (perairan) Kuala Perlis juga adalah tumpuan ikan lumba-lumba dan tempat spesies tersebut mencari makan.
“Selain itu, ikan lumba-lumba ini juga mungkin cedera di laut dan hanyut ke daratan. Jaring-jaring nelayan yang banyak terbuang di laut juga menjadi salah satu faktor ikan-ikan ini cedera,” katanya.
Di Terengganu, Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, sampah yang terurai di pantai berisiko tinggi menjejaskan penghasilan induk jantan penyu sekali gus mengakibatkan ketidakseimbangan nisbah jantina dalam populasi penyu.

Katanya, nasib menimpa penyu belimbing bakal berulang kepada penyu agar jika aspek kebersihan pantai diabaikan.
“Sisa mikroplastik mempunyai sifat menyerap haba tinggi terutama yang berwarna hitam dan mampu menyebabkan sarang penyu menjadi lebih panas,” katanya.
Katanya, ini kerana sisa mikroplastik mempunyai sifat menyerap haba tinggi terutama yang berwarna hitam dan mampu menyebabkan sarang penyu menjadi lebih panas.
“Suhu pengeraman melebihi 30 darjah Celsius hanya akan menghasilkan anak penyu betina berbanding jantan. Akhirnya penyu agar akan mengalami nasib sama seperti penyu belimbing berikutan tidak cukup induk jantan untuk mengawan,” kata beliau.
Kali terakhir penyu belimbing mendarat di negeri ini pada 2017 dan kesemua telur tidak berkembang menjadi embrio sekali gus mengesahkan teori kekurangan penyu belimbing jantan di perairan Terengganu.
Sabtu lalu Utusan Malaysia melaporkan sikap pengotor sebahagian rakyat Malaysia yang membuang sampah hingga mencemarkan pantai, tasik dan air terjun di seluruh negara selepas kebenaran beriadah diberikan bermula
Mohd. Uzair memberitahu, hasil kajian garis data asas yang dilakukan di empat pantai persarangan penyu di negeri ini mendapati lokasi berkenaan dicemari dengan sisa plastik bersaiz mikro yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
Katanya, kekurangan penyu boleh menyebabkan ekosistem lautan menjadi tidak stabil dan keadaan paling jelas ialah ledakan populasi ubur-ubur yang merupakan makanan utama hidupan marin berkenaan.
“Sampah yang banyak berisiko mengakibatkan penyu mati tercekik, lalu bilangan ubur-ubur turut meningkat kerana tiada lagi pemangsa.
“Ubur-ubur pula akan memakan telur-telur ikan hingga mengakibatkan bekalan stok ikan negara tergugat, oleh itu usah membuang sampah merata-rata dan sayangilah penyu kita kerana peranan haiwan berkenaan dalam kesihatan lautan,” katanya.
Tambah Mohd. Uzair, penyu-penyu yang tertelan sisa plastik di lautan hanya mempunyai peluang hidup kira-kira 50 peratus. – UTUSAN










