KUALA TERENGGANU: Suasana di Pantai Pandak di sini meriah dengan kunjungan orang ramai yang tidak melepaskan peluang berkelah dan mandi-mandi di sepanjang kawasan rekreasi berkenaan selepas sekian lama ‘terkurung’.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati seawal pukul 5 petang lagi pengunjung sudah mula memenuhi kawasan pantai bersama keluarga dan rakan masing-masing.
Bukan hanya golongan kanak-kanak yang ceria, malah ibu bapa dan kalangan remaja turut gembira melakukan aktiviti riadah berkenaan tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Keadaan cuaca yang baik di samping laut yang tenang mendorong rata-ratanya bersantai hingga pukul 7 malam sebelum semuanya beransur pulang.
Seorang pengunjung, Mohd. Rizal Alias, 40, berkata, kunjungan ke Pantai Pandak itu bertujuan menceriakan tiga anaknya yang berusia antara empat hingga 12 tahun memandangkan sudah lama tidak keluar rumah bersiar-siar.
“Jika ada kelapangan, setiap petang saya bawa keluarga ke sini kerana lokasi yang dekat dengan rumah dan walaupun pengunjung ramai tetapi penjarakan masih terkawal.
“Anak-anak memang gembira kerana rindu untuk mandi-manda dan bermain di pantai yang menjadi rutin mereka sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, seorang remaja, Norliana Mamat, 20, berkata, dia terpanggil ke lokasi berkenaan semata-mata bagi mengambil gambar tarikan terbaharu yang ada di Pantai Pandak iaitu pantai cermin.
“Kawasan ini terbentuk kerana air laut surut dan keunikan tersebut secara tidak langsung mencantikkan lagi gambar yang dirakam bersama kawan-kawan,” katanya. -UTUSAN ONLINE










