DUNGUN: Kelibat dua ekor beruang berkeliaran di sekitar Kampung Besol Lama di sini sejak dua minggu lalu meresahkan penduduk.
Seorang penduduk, Jamilah Hamzah, 47, berkata, haiwan liar itu semakin kerap memasuki kampung dan memusnahkan tanaman orang ramai.
Malah, katanya, sudah beberapa kali penduduk termasuk dua anaknya bertembung dengan beruang pada waktu malam dan pagi.
“Setakat ini, beruang tersebut hanya mencari makan di kebun penduduk, berkemungkinan sebab sekarang musim buah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Shazwan Sanusi, 31, pula bimbang keselamatan penduduk terutama kanak-kanak jika haiwan liar itu masih memasuki kampung.
“Kita risau kanak-kanak dicederakan kalau terserempak dengan beruang itu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut walaupun belum menerima laporan rasmi berkaitan haiwan tersebut.
“Beruang itu mungkin keluar dari hutan berdekatan disebabkan faktor musim buah atau terdapat perusahaan madu di kampung yang menjadi tarikan bekalan makanan,” katanya. – UTUSAN