Syarikat kredit masih enggan beri moratorium kepada pengusaha bas - Utusan Malaysia

Syarikat kredit masih enggan beri moratorium kepada pengusaha bas

R. Thiagarajan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas sebulan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi diperkenalkan, kebanyakan syarikat kredit masih enggan memberi moratorium kepada pengusaha bas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Bebas Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM), R. Thiagarajan berkata, beliau sudah meminta kerajaan mewajibkan semua syarikat kredit memberikan moratorium sewaktu tempoh darurat, tetapi belum mendapat respons.

Malah, beliau juga telah menghantar surat kepada Kementerian Kewangan beberapa hari lepas bagi memperjelaskan mengenai moratorium oleh syarikat kredit, keperluan penjamin dan kadar faedah yang dikenakan namun belum ada jawapan.

“Sebelum ini, ada pihak dari kerajaan berkata mereka sudah meminta syarikat kredit supaya menyertai skim ini, tetapi sampai sekarang mereka enggan menyertai skim ini.

“Moratorium ini pun menimbulkan persoalan. Meskipun tempohnya boleh dipanjangkan, kadar faedah adalah dua peratus daripada kadar asal. Sebagai contoh, kalau saya berhutang RM100,000 saya masih perlu bayar dalam RM26,000 hingga RM36,000, ini menambah beban dan hutang sedia ada, lebih baik tidak payah buat skim ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dengan nilai peruntukan RM1 bilion bagi membolehkan pengusaha bas dan teksi mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.

Thiagarajan memberitahu, daripada 25 syarikat kredit yang biasanya memberikan pinjaman kepada pengusaha bas, hanya lima syarikat bersetuju menyertai skim tersebut.

Selebihnya, kata beliau, enggan berbuat demikian dengan alasan tidak mahu dikawal selia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan menganggap mereka tidak diwajibkan menyertai skim itu.

Tambahnya, kebanyakan pengusaha bas mungkin tidak memerlukan moratorium jika program vaksinasi bergerak tidak didominasi pihak tertentu.

“Mereka adakan program vaksinasi bergerak untuk pengusaha bas, tetapi pihak persatuan tidak dapat, sebaliknya mereka bagi kepada syarikat bas yang besar-besar sahaja. Padahal kami sudah tawarkan harga yang cukup murah.

“Kalau macam itu, apa gunanya kami ada persatuan? Kami sudah meminta mereka supaya berlaku adil kerana ramai yang menganggur, berilah agihan kepada ahli-ahli tetapi mereka tidak panggil-panggil. Ini sebabnya kami mahukan moratorium, kalau ada duit dari program ini, bolehlah kami bayar pinjaman, tidak perlulah kami bergantung kepada moratorium,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya