"Hanya peroleh RM10 sehari" - Utusan Malaysia

“Hanya peroleh RM10 sehari”

EDDIN Syazlee Shith beramah mesra dengan pemandu-pemandu teksi selepas menyerahkan sumbangan bantuan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh Pejabat Parlimen Kuala Pilah kepada pemandu-pemandi teksi di Hentian Teksi hari ini. UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Hanya RM10 sehari, itulah anggaran jumlah pendapatan yang diterima pemandu-pemandu teksi di daerah ini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Malah, lebih teruk, adakalanya mereka langsung tidak memperoleh sebarang pendapatan kerana ketiadaan penumpang.

Pengerusi Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Daerah Kuala Pilah, Razali Mohd. Soom, 70, berkata, kesemua pemandu teksi kini terjejas kerana penumpang semakin berkurangan ke pekan Kuala Pilah.

“Jika diikutkan, memang pendapatan kami terjejas sejak dua tahun kebelakangan ini. Penularan Covid-19 menambah kesukaran kami, ada pemandu yang hanya dapat RM10 sehari, malah, ada yang langsung tiada penumpang.

“Walaupun penumpang berkurangan, kami tetap menunggu di hentian ini setiap hari. Kebanyakan daripada kami tidak boleh bekerja lain kerana faktor usia, oleh itu, kami harapkan agar pandemik Covid-19 ini cepat berlalu dan keadaan kembali seperti biasa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Program Penyerahan Bakul Makanan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh Pejabat Parlimen Kuala Pilah kepada pemandu-pemandu teksi Kuala Pilah di sini hari ini.

Program berkenaan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya sementara itu berkata, pihaknya turun padang bagi mendengar rintihan pemandu teksi yang terjejas pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Selain menghantar bakul makanan,paling penting saya mahu mendengar sendiri rintihan pemandu kereta sewa di daerah ini. Saya faham pendapatan mereka agak terjejas dan saya juga mahu membantu mereka dengan segera.

“Mereka juga memohon sumbangan dana untuk membina bilik solat dan memohon penghawa dingin dengan segera. Saya akan menunaikan hasrat mereka selepas mendapat kelulusan,” katanya.

Eddin Syazlee dalam pada itu turut menyumbangkan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Daerah Kuala Pilah.

“Selain sumbangan ini, saya juga akan membantu mereka yang terkesan dari semasa ke semasa,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN