KP Kesihatan tanya tujuan pergerakan kenderaan - Utusan Malaysia

KP Kesihatan tanya tujuan pergerakan kenderaan

Gambar dikongsi Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook beliau pada 29 Mei 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
PETALING JAYA: Ke manakah arah tujuan anda pada hujung minggu ini?
Itu pertanyaan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook tadi yang turut berkongsi gambar yang menunjukkan masih ada pergerakan besar-besaran berlaku walaupun larangan merentas daerah dan negeri  dikeluarkan.
Menurut Noor Hisham,  membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu  usaha Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membendung penularan jangkitan virus Covid-19.
“Duduklah di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting. Bantulah selamatkan sistem kesihatan negara yang bakal lumpuh sekiranya peningkatan kes  tidak terkawal,” tulis Noor Hisham.
Kata beliau lagi, jika petugas kesihatan rebah, anda dan ahli keluarga anda mungkin tidak akan menerima rawatan lagi.
“Lebih malang, tiada lagi katil untuk anda di hospital. Apatah lagi jika anda tenat dan kritikal tetapi katil pusat rawatan rapi (ICU) sudah penuh semuanya. Petugas barisan hadapan sudah penat. Tapi kami masih gagahi demi menyelamatkan nyawa anda,” kata beliau.
Semalam, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan total lockdown di negara ini mulai 1 Jun ini ekoran peningkatan kes harian Covid-19 melepasi 8,000 kes.
Total lockdown yang menutup aktiviti ekonomi dan sosial selama dua minggu itu diharap dapat menurunkan semula angka jangkitan.
Kerajaan akan perlahan-perlahan melonggar aktiviti tersebut menerusi fasa kedua dan ketiga jika angka jangkitan menunjukkan penurunan. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN