fbpx

26 Oktober 2020, 6:44 pm

  TERKINI

Dulu pegawai bank, kini tukang gunting rambut

CHAIRIL Fadzrizal Ramli di hadapan kedai The Gunting Rambut miliknya di Permatang Pauh, Pulau Pinang. - FOTO/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Kerjaya asalnya ialah seorang pegawai bank, namun, Cairil Fadzrizal Ramli, 42, tidak pernah menyesal kerana meninggalkan kerjaya tersebut demi mengejar cita-cita sebagai seorang tukang gunting rambut.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia berkhidmat sebagai pegawai bank selama hampir 13 tahun sebelum berhenti pada 2012 dan melakukan pelbagai pekerjaan sehingga akhirnya berjaya membuka sebuah kedai gunting rambut The Gunting Rambut di sini, dua tahun lalu.

“Lepas berhenti, saya kerja de­ngan syarikat perkakasan komputer, Dell selama hampir tujuh bulan sebelum berniaga di tepi-tepi jalan serta berjinak-jinak sebagai ejen insurans dan takaful.

“Alhamdulillah, impian saya untuk memiliki kedai sendiri kini tercapai dan saya masih seorang ejen insurans selain mula menceburkan diri sebagai ejen hartanah secara separuh masa,” kata anak kelahiran Ipoh, Perak itu kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

CHAIRIL Fadzrizal Ramli (kiri) melihat seorang pekerjanya menggunting rambut pelanggan mereka.

Mengulas lanjut, Cairil Fadzrizal yang juga graduan dalam bidang Teknologi Maklumat berkata, selain mengejar cita-citanya sebagai tukang gunting rambut profesional, keluarga adalah antara sebab utama dia mengambil keputusan untuk bekerja sendiri pada ketika ini.

Pada masa sama katanya, masalah tulang rawan tergelincir atau slip disc ketika bermain bola membuatkan dia berfikir banyak kali untuk meneruskan kerjaya sebagai pegawai bank.

Justeru, dengan minat mendalam untuk menjadi seorang tukang gunting rambut, Cairil Fadrizal mula mengumpul pengalaman demi pengalaman sebelum memberanikan diri menyewa sebuah tapak kedai dua tingkat di tepi jalan di sini dengan konsep ‘style barber, rega kampung’ atau kedai gunting rambut premium pada harga yang murah.

“Awal-awal dulu iaitu pada 2018, bisnes memang ‘kencang’ kerana saya hanya mengenakan RM9 tanpa mengira usia memandangkan di sekitar kawasan ini sahaja (Jalan Permatang Pauh) terdapat lebih kurang 10 buah kedai gunting rambut.

“Bagaimanapun, sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan Mac lalu teruta­manya untuk tiga bulan pertama, saya hilang pendapatan terus dan awal tahun ini juga, kedai saya telah dipecah masuk sehingga habis segala peralatan dicuri,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN