PBAPP laksana projek kontigensi tingkat kapasiti empangan Teluk Bahang - Utusan Malaysia

PBAPP laksana projek kontigensi tingkat kapasiti empangan Teluk Bahang

IR. JASENI Maidinsa (kiri), Chow Kon Yeow (kanan) dan Yeoh Soon Hin meninjau Empangan Teluk Bahang yang kini mencatatkan paras terendah sehingga 16.4 peratus semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melaksanakan projek kontingensi air mentah untuk meningkatkan kapasiti Empangan Teluk Bahang bermula September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, projek itu melibatkan pengalihan air mentah dari kawasan tadahan air Sungai Pinang berhampiran air terjun Titi Kerawang ke dalam empangan.

Menurut beliau, projek itu akan membolehkan Empangan Teluk Bahang memanfaatkan dua sumber air mentah iaitu kawasan tadahan air Teluk Bahang dan kawasan tadahan air Sungai Pinang yang jaraknya kira-kira 8.6 kilometer melalui jalan darat.

“Saluran paip air terawat 450 milimeter (mm) sedia ada di muka sauk Sungai Pinang akan digunakan untuk mengalirkan air mentah dan dilepaskan ke empangan secara semula jadi,” katanya selepas meninjau Empangan Teluk Bahang di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin.

Sebelum ini, media melaporkan paras kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang menurun sejak awal Jun lalu akibat kekurangan hujan di kawasan tadahan air kawasan berkenaan.

Menurut Jaseni, pada masa ini PBAPP sedang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian saluran paip untuk membolehkan pengalihan air mentah dari kawasan tadahan Sungai Pinang ke Empangan Teluk Bahang.

“Ketika hujan di kawasan tadahan air Empangan Teluk Bahang dan kawasan tadahan air Sungai Pinang, empangan akan berpotensi menerima hasil dari tadahan Sungai Pinang sekitar 10 juta liter sehari,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya jumlah taburan hujan meningkat lebih 38,000 pengguna di Teluk Bahang, Batu Feringghi dan Balik Pulau tidak akan berdepan dengan catuan air.

“Setakat semalam, kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang adalah 16.4 peratus yang mencukupi untuk bekalan selama 51 hari tanpa hujan.

“Apabila terdapat hujan di kawasan tadahan air empangan, bilangan hari bekalan akan meningkat secara automatik,” katanya.

Tambahnya, dengan musim hujan yang dijangka bermula September hingga hujung tahun ini, PBAPP menjangka projek kontigensi air Sungai Pinang akan membantu mengisi semula empangan dengan lebih cepat. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.