10,000 pengunjung dijangka banjiri Festival Kebudayaan Terengganu  - Utusan Malaysia

10,000 pengunjung dijangka banjiri Festival Kebudayaan Terengganu 

ARIFFIN Deraman (tiga dari kiri) bersama peserta kursus Kampung Budaya Terengganu selepas merasmikan majlis penutupannya di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Festival Kebudayaan Terengganu yang akan diadakan pada 27 Ogos hingga 6 September ini dijangka menarik seramai 10,000 pengunjung sepanjang 11 hari penganjurannya. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, penganjuran festival itu menjadi platform dalam mengetengahkan dan memperkenalkan kebudayaan, kesenian serta warisan Terengganu kepada dunia. 

Katanya, program itu dalam masa sama dapat mendedahkan generasi muda untuk mengenali dan menilai khazanah kesenian serta kebudayaan agar tidak ditelan zaman. 

“Festival Kebudayaan ini dapat membawa kembali kegemilangan, kebudayaan dan warisan seperti seni bina, masakan, tarian tradisional dan sebagainya. 

“Ciri-ciri ini telah lama hilang ditelan zaman. Jadi, dengan adanya festival ini akan mengembalikan semula warisan Terengganu yang kian dilupakan,” katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup kursus peserta Kampung Budaya Terengganu di sini hari ini.

Menurut Ariffin, festival itu akan adakan di enam lokasi terpilih di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus iaitu di Duyong Marina & Resort, Hotel Permai, Hotel Primula Warisan Sari, Paya Bunga Square & Hotel dan di Terradala. 

Katanya, antara program kebudayaan yang akan berlangsung sepanjang festival itu ialah nelayan berkolek di Hotel Primula, cerita Duyong di Duyong Marina & Resort, pertunjukan wau sobek di Hotel Permai, pertunjukan gamelan di Warisan Sari, gasing terbang di Paya Bunga Square & Hotel serta Langkasuka di Terradala.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, Terengganu sentiasa menjadi pilihan pelancong untuk datang bercuti sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

“Dengan pemilihan lokasi yang jaraknya sangat berdekatan, kita yakin festival ini akan menjadi tarikan pelancong untuk mengenali Terengganu dengan lebih dekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya