Spiderman jual anggur di Pantai Teluk Ketapang  - Utusan Malaysia

Spiderman jual anggur di Pantai Teluk Ketapang 

GELAGAT Mat Robi Mohd. Radzi memakai kostum Spiderman berjaya menarik pelanggan untuk membeli anggur di gerainya di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seorang peniaga sanggup berpanas hampir tujuh jam setiap hari dengan memakai kostum adiwira, Spiderman bagi mempromosikan buah anggur jualannya di Pantai Teluk Ketapang di sini.

Lebih menarik apabila Mat Robi Mohd. Radzi, 35, turut ditemani tiga Spiderman lain yang terdiri daripada ahli keluarganya termasuk anak lelaki yang berusia 10 tahun, Muhammad Ashraf Najmi.

Menurut Mat Robi, idea memakai kostum kegemaran kanak-kanak itu timbul apabila banyak persaingan dalam perniagaan jualan anggur di kawasan dia sekeluarga mencari rezeki. 

“Saya berniaga anggur di tepi pantai ini hampir sebulan lalu dan pada awalnya hanya saya seorang tetapi sekarang sudah ramai hingga menyebabkan hasil jualan kurang memberangsangkan.

“Jadi saya cuba buat kelainan Spiderman untuk menarik perhatian orang awam yang lalu-lalang di sini sekali gus membeli anggur di gerai saya dan alhamdulillah, jualan meningkat,” katanya ketika ditemui di Pantai Teluk Ketapang, di sini baru-baru ini.

Mat Robi berkata, dia membelanjakan kira-kira RM2,000 bagi membeli enam kostum Spiderman termasuk buat anak saudaranya, Muhammad Ikhwan Zamri, 14, dan sepupunya, Muhammad Akif Asyraf Fauzi, 18.

Dia yang berpengalaman berniaga selama 11 tahun berkata, rata-rata pelanggan teruja melihat Spiderman malah ada yang datang semula keesokannya untuk membeli anggur dan bergambar bersama.

“Ada yang minta izin untuk bergambar dan memuat naik dalam media sosial masing-masing. Alhamdulillah ia salah satu promosi percuma untuk gerai anggur saya,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Norliana Mat Yazit, 33, merancang untuk menukar kostum kartun kegemaran kanak-kanak yang lain selain Spiderman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya