Covid-19: Peluang kerja warga tempatan dalam sektor perikanan - Utusan Malaysia

Covid-19: Peluang kerja warga tempatan dalam sektor perikanan

SEBAHAGIAN daripada 150 bot nelayan tersadai di jeti Kuala Perlis sejak PKP diperkenalkan pertengahan Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu memberi hikmah khususnya dalam sektor perikanan apabila tidak ada lagi lambakan nelayan warga asing di negara ini.

Meskipun situasi tersebut dilihat memberi kesan kepada para pengusaha bot nelayan, namun jika dilihat dari sudut positif, ia secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada warga tempatan untuk terlibat dalam sektor perikanan.

Namun bagi menarik minat pekerja tempatan khususnya golongan muda, para pengusaha bot nelayan ini, perlu memberi gaji yang setimpal selain insentif lain agar berbaloi dengan tugas berat yang terpaksa dihadapi mereka apabila turun ke laut dalam.

CHE ANI MAT ZAIN

Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Che Ani Mat Zain berkata, sebagai rekod pada tahun 2018, sebanyak 33,367 nelayan warga asing bekerja dalam sektor perikanan di negara ini.

Katanya, di Perlis pula, lebih 70 peratus daripada keseluruhan 3,493 nelayan terdiri daripada warga asing khususnya dari Thailand.

“Kita mendapati para pengusaha bot lebih selesa mengambil nelayan warga asing kerana mereka tidak banyak kerenah dan mengikut apa sahaja arahan majikan walaupun gaji lebih rendah.

“Pengusaha lebih suka cari jalan senang kerana pekerja asing ini mudah dijaga. Selain itu, mereka juga boleh mengurangkan kos operasi berbanding menggunakan pekerja tempatan. Pekerja warga asing ini dilihat tidak perlu caruman apa-apa termasuk insurans,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 150 pengusaha bot nelayan di Kuala Perlis mengalami kerugian dianggarkan lebih RM60 juta selepas hampir empat bulan tidak turun ke laut berikutan PKP pertengahan Mac lalu.

Lebih malang, apabila kerajaan memberi kelonggaran melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pengusaha bot terbabit masih tidak dapat turun ke laut berikutan ketiadaan pekerja yang kebanyakannya warga Thailand.

Kira-kira 1,600 nelayan Thailand yang bekerja antara 10 hingga 15 tahun telah dihantar pulang ke negara mereka berikutan pandemik Covid-19 dan sehingga hari ini pekerja terbabit masih tidak dibenarkan kembali apabila kerajaan belum membenarkan kemasukan warga asing ke negara ini.

Tambah Che Ani, lambakan pekerja warga asing khususnya dalam sektor perikanan ini dilihat tidak memberi sebarang keuntungan kepada negara sebaliknya bakal mengundang lebih banyak masalah sosial dan risiko lain.

“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada nelayan warga asing yang dilihat mengundang kemudaratan berbanding kebaikan. Kerajaan melalui Jabatan Perikanan perlu mencari kaedah dalam melatih dan memberi kesedaran kepada nelayan tempatan khususnya golongan muda agar terlibat dalam sektor ini.

“Kalau di Kuala Perlis, sudah menjadi tradisi pengusaha menggunakan khidmat nelayan warga asing dari Thailand. Dengan perkembangan Covid-19 ini, sudah sampai masanya kita kembali menggunakan khidmat nelayan tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya