Polis tiba di Jakarta siasat juruterbang seludup dadah

Polis tiba di Jakarta siasat juruterbang seludup dadah

Juruterbang dadah
HUSSEIN Omar Khan ditemui pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyoal siasat seorang pembantu juruterbang yang ditahan kerana menyeludup dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta selama dua hari pada esok hingga Khamis ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ruang selama dua hari diberi oleh pihak Polisi Republik Indonesia (POLRI) bagi tujuan berkenaan.

Katanya, seramai empat pegawai PDRM sudah pun tiba di negara jiran itu bagi menemui lelaki berusia 39 tahun terbabit pada 12 dan 13 Ogos.

“Kita akan mengumpul maklumat yang lebih banyak dan tepat untuk dibandingkan dengan apa yang kita dapat setakat ini.

“Beberapa beberapa perkara lain juga akan ditanya termasuk berkaitan sindiket bagi membantu siasatan kes itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Polis mengenal pasti seorang kakitangan beruniform yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyiasat punca dadah dibawa oleh seorang pembantu juruterbang berjaya melepasi tapisan keselamatan di sana.

Hussein ketika itu memberitahu, kakitangan berusia 30-an itu terlibat dalam prosedur saringan keselamatan di KLIA.

Beliau kemudian memaklumkan lima individu sudah dipanggil untuk direkodkan keterangan bagi mengenal pasti jika terdapat penglibatan sebarang sindiket yang mempunyai dengan kes tersebut.

“Kita setakat ini berpuas hati dengan keterangan yang diambil, namun masih terlalu awal untuk mendedahkan individu terlibat termasuk unsur berkaitan ‘orang dalam’. Siasatan kes itu tidak mudah kerana melibatkan sindiket yang menggunakan identiti palsu.

“Biarpun kita berjaya mengesan nombor telefon, ia bukan boleh terus saja ditangkap kerana sindiket itu didapati menggunakan identiti palsu. Kita juga perlu siasat faktor sindiket itu berada di Malaysia atau luar negara yang mempunyai kaitan dengan juruterbang tersebut,” jelasnya.

Pada 29 Julai lalu, pembantu juruterbang itu ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta selepas petugas Kastam dan Cukai Indonesia mengesan objek mencurigakan dalam bagasi miliknya ketika pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X di balai ketibaan antarabangsa.

Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan besar mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat 25.19 kilogram, selain satu bungkusan syabu seberat 2.75 gram dan sisa syabu seberat 0.08 gram dalam paip kaca. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×