Bekas juruwang kaut RM568,200 seleweng pin TnG

Bekas juruwang kaut RM568,200 seleweng pin TnG

NUR Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi dipenjara dua tahun kerana menyeleweng pin tambah nilai Touch ‘n Go (TnG) eWallet melebihi sete­ngah juta ringgit bagi menanggung kekasihnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akibat buta ke­rana cinta, seorang bekas juru­wang sanggup menyeleweng pin tambah nilai Touch ‘n Go (TnG) eWallet melebihi sete­ngah juta ringgit bagi menanggung kekasihnya.

Bagaimanapun, nasib Nur Ati­­qah Asyirah Muhamad Fauzi, 29, tidak ubah seperti kata pepatah, habis madu, sepah dibuang.

Wanita itu bukan sahaja putus cinta selepas ‘membantu’ be­kas kekasihnya mendapatkan ken­deraan malah kini perlu meringkuk di penjara akibat kesalahan yang dilakukannya.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam bela, Arik Zakri Ab­­dul Kadir ketika mengemukakan rayuan bagi anak guamnya.

“Beliau dimanipulasi seorang bekas kekasih yang mana ke­salahan dilakukan (adalah) untuk menampung gaya hidup (lelaki itu) sehingga dapat membeli kenderaan dan sebagainya.

“Untuk makluman, tertuduh sebelum ini telah berkhidmat selama hampir lapan tahun sebagai juruwang di tempat kejadian. Beliau merupakan seorang pekerja yang berdedikasi jadi kesalahan ini adalah satu penyimpangan luar biasa.

“Jadi di sini, saya merayu hukuman paling minimum diberikan kepada tertuduh. Tertuduh juga pesalah pertama selain ibunya yang dimasukkan ke hospital Selasa lalu kerana serangan angin ahmar,” kata peguam itu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Norma Ismail kemudian me­merintahkan Nur Atiqah Asyi­rah dipenjara dua tahun selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas 14 pertuduhan pecah amanah dan pengu­bahan wang haram berjumlah RM568,200, tiga tahun lalu.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman pemenjaraan bagi kesemua pertuduhan itu berjalan secara serentak bermula semalam.

Mengikut dua pertuduhan pe­cah amanah, tertuduh sebagai pekerja sebuah pasar raya di­dakwa telah menyalahgunakan mesin terminal pin TnG milik syarikat dengan mengeluarkan nilai pin bernilai RM98,800.

Pin itu kemudian ditebus ni­lai ke dalam akaun TnG eWallet miliknya sendiri.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pasar raya di Kepong di antara 7 Januari 2023 dan 9 Julai 2024.

Pertuduhan dikemukakan me­ngikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dengan sebat dan denda.

Tertuduh terlepas hukuman sebat kerana peruntukan Sek­syen 289 (a) Kanun Acara Jenayah menyatakan bahawa hukuman sebat tidak boleh dikenakan ke atas mana-mana pesalah wanita.

Bagi 12 pertuduhan pengubahan wang haram, Nur Atiqah Asyirah didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM469,400 kepada akaun bank miliknya dan beberapa akaun TnG eWallet milik ahli keluarganya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pasar raya di Kepong di antara 1 Januari 2023 dan 6 Ogos 2024.

Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Ha­ram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hasil atau denda RM5 juta atau mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendak­wa Raya, Batrisyia Mohd. Khusri memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal mengambil kira kedudukannya sebagai juruwang kanan dan kepentingan awam.

Perbuatan tertuduh melibatkan kerugian syarikat dan dila­kukan secara terancang yang ma­na terdapat transaksi selama dua tahun dan bukan secara kesalahan satu kali ataupun one-off.

“Oleh itu, ini bukanlah suatu kesilapan sesaat malahan merupakan satu siri pengkhianatan amanah yang sistemik,” katanya.

Mengikut fakta kes, perbuatan itu terbongkar selepas pengurus pasar raya itu mengesyaki Nur Atiqah telah mengambil sebuah mesin peranti terminal e-pay tanpa kebenaran.

Hasil semakan rekod e-pay kemudian mendapati tertuduh telah menggunakan mesin peranti terminal tersebut bagi tujuan tambah nilai e-wallet TnG sejak Ogos 2022 hingga Julai 2024 untuk kegunaan peribadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN