ISKANDAR PUTERI: Tujuh lelaki asing ditahan polis Johor bagi membantu siasatan kematian seorang juruteknik yang ditemukan dengan kesan tikaman di sebuah unit pangsapuri sekitar bandar raya Johor Bahru, pada 13 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, kesemua suspek yang berusia antara 17 hingga 45 tahun ditahan sekitar Masai dan Mersing pada 19 Mei lalu.
“Tangkapan terhadap semua suspek dibuat hasil risikan dan tindakan susulan selepas kenderaan Perodua Myvi milik mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang berjaya ditemukan.
“Kesemua suspek kini direman sehingga 26 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Chuan Huat berkata, siasatan berhubung kes berkenaan masih dijalankan dan tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan dibuat.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan pihaknya telah menahan enam lelaki tempatan bersabit insiden kematian seorang lelaki yang ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai di Pekan Nanas, Pontian, lewat malam tadi.
“Tangkapan dibuat bermula lewat malam tadi sehingga awal pagi ini di sekitar Johor Bahru. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.










