Rumah dipecah masuk penjenayah, lelaki rugi RM800,000

Rumah dipecah masuk penjenayah, lelaki rugi RM800,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki mengalami kerugian lebih RM800,000 selepas rumah miliknya di Taman Melawati dekat sini dipercayai dipecah masuk penjenayah dalam kejadian pada Khamis lalu.

Laporan berhubung kejadian itu dibuat selepas pengadu tiba di rumah kira-kira pukul 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, mangsa mendapati ruang tamu serta beberapa bilik di dalam rumah berada dalam keadaan berselerak sebelum pemeriksaan lanjut menemukan kesan umpilan pada pintu belakang rumah.

“Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah dengan cara mengumpil grill dan pintu belakang sebelum menggeledah beberapa bahagian rumah.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian berjaya menemukan tiga kesan cap jari bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati, beberapa barang kemas serta jam tangan dipercayai hilang dalam kejadian itu.

“Anggaran keseluruhan kerugian adalah sekitar RM800,000 dah Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya memastikan rumah sentiasa berkunci selain meningkatkan ciri keselamatan kediaman bagi mengelakkan kejadian pecah rumah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN