Pecah masuk rumah, , 7 termasuk warga Amerika Latin ditahan

Pecah masuk rumah, , 7 termasuk warga Amerika Latin ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan kumpulan penjenayah Amerika Latin yang menggunakan taktik  meninjau rumah mewah yang disasarkan dan menaiki kenderaan disewa untuk melakukan jenayah itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, taktik kumpulan itu terbongkar selepas mereka  memecah masuk rumah seorang  ahli perniagaan dan melarikan barangan bernilai RM7 juta di Bukit Damansara, di sini pada 31 Mei lalu.

Menurut beliau, mangsa menyedari rumahnya di pecah masuk selepas mendapati bilik tidur utama dalam keadaan berselerak. 

“Mangsa kemudian mendapati 30 jam tangan mewah pelbagai jenama, barang kemas dan wang tunai yang semuanya dianggarkan bernilai  kira-kira RM7 juta hilang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kata Rusdi berkata, siasatan mendapati kumpulan tersebut turut membawa  alat ‘jammer’ kamera litar tertutup (CCTV)  untuk mematikan fungsi CCTV itu.

Selain itu, menurut beliau, pemeriksaan  CCTV milik jiran mendapati suspek membawa   kereta sewa jenis Perodua Myvi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu untuk memecah masuk rumah mangsa.

Kata beliau,  siasatan polis membawa kepada penahanan tujuh individu  pada 6,9 dan 14 Jun lalu di sekitar ibu kota dan Bangkok, Thailand.

“Polis menahan dua lelaki warga Amerika Latin berusia 20 dan 22 tahun pada 6 Jun lalu. Pada 9 Jun polis berjaya menahan empat lagi suspek berusia 30 hingga 40 tahun termasuk wanita warga tempatan dipercayai teman wanita salah seorang suspek.

“Hasil daripada tangkapan pertama dan kedua, polis menahan seorang lagi suspek warga tempatan di sekitar ibu kota dan seorang lagi suspek di tahan pihak Imigresen Thailand di Bangkok pada 14 Jun lalu,” kata beliau.

Kata beliau, polis berjaya merampas barang kes dipercayai dicuri dari kediaman ahli perniagaan itu iaitu 29 jam tangan pelbagai jenama, 97 barang kemas dan wang tunai RM4,550 dengan anggaran keseluruhan rampasan sebanyak RM4 juta.

“Tiga daripada suspek masih dalam tahanan reman sehingga 30 Jun ini manakala empat suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

“Lima suspek akan dituduh esok mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 411 Kanun Keseksaan,”katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN