JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai juruteknik ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di dalam sebuah unit pangsapuri, di sini, lewat malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung penemuan mayat tersebut pada pukul 11.12 malam.
“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 33 tahun dan bekerja sebagai seorang juruteknik. Dia ditemukan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.
“Turut ditemukan ditepi mangsa adalah sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Siasatan lanjut sedang dibuat termasuklah motif pembunuhan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan melalui talian 07-2182323 bagi membantu siasatan,” katanya.









