‘Ada polis jaga, penyeludup mati langkah’

‘Ada polis jaga, penyeludup mati langkah’

ANGGOTA PGA yang ditempatkan di stesen minyak di kawasan sempadan mula melakukan pemantauan bagi mengekang ketirisan atau penyeludupan bahan api di Padang Besar, Perlis semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Langkah menempatkan anggota polis di stesen-stesen minyak berhampiran kawasan sempadan mematikan langkah atau helah penyeludup membawa keluar bahan api khususnya ke negara jiran.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Padang Besar mendapati anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mula ditempatkan di stesen minyak yang berjarak kira-kira 1.6 kilometer dari sempadan.

Difahamkan anggota ditempatkan di stesen minyak terbabit bertugas secara bergilir mengikut waktu operasi premis dan sentiasa memantau aktiviti mencurigakan khususnya membabitkan pembelian bahan api.

Ketika ini, dua anggota ditempatkan di stesen minyak pada satu-satu masa bagi melancarkan penugasan pemantauan.

Seorang pekerja stesen minyak dikenali sebagai Siti Khadijah berkata, pemantauan tersebut sedikit sebanyak membantu dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan menggelakkan ketirisan bahan api ke negara jiran.

“Anggota terlibat dapat bantu pantau dan ambil tindakan secara terus jika berlakunya cubaan menyeludup petrol atau diesel di stesen-stesen minyak sekitar sempadan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, kenderaan pacuan empat roda dari Thailand juga dilihat semakin kurang membuat pengisian diesel di stesen berkenaan, berkemungkinan disebabkan harga bahan api tersebut lebih rendah di negara itu.

“Mereka (warga Thailand) hanya akan isi diesel di sini jika stesen minyak di sana (Thailand) penuh. Mungkin sebab harga di Thailand ketika ini lebih murah berbanding Malaysia,” katanya.

Seorang pengguna, Mohd Kushairi Abd Latif, 45, pula berkata, dia menyambut baik usaha kerajaan mengekang kegiatan penyeludupan yang sering kali berlaku di sempadan negara ini.

Katanya, pelbagai helah sering digunakan bagi melakukan kegiatan penyeludupan sebelum ini, yang turut menafikan hak rakyat.

“Dengan adanya pemantauan ini, penyeludup tidak akan lagi berani bertindak sewenang-wenangnya memandangkan pergerakan mereka di stesen minyak akan dipantau polis,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, polis akan menempatkan anggota di lebih 80 stesen minyak berhampiran sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan petrol dan diesel.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, arahan sudah diberikan kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail untuk tindakan lanjut termasuk mengatur penugasan anggota bagi mengawasi stesen minyak berhampiran sempadan, sekali gus memantau serta membanteras penyeludupan bahan api. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN