Maritim Malaysia rampas 16,500 unit vape cuba diseludup ke negara jiran

Maritim Malaysia rampas 16,500 unit vape cuba diseludup ke negara jiran

ROMLI Mustafa (tiga kiri) menunjukkan barangan rampasan dalam sidang akhbar di pejabat zon Maritim Kuala Perlis, Perlis, hari ini. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 16,500 unit pelbagai jenis peranti rokok elektronik atau vape dipercayai cuba diseludup ke negara jiran menggunakan sebuah lori di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sanglang di sini, semalam. 

Lori terbabit ditahan sekitar pukul 1.15 pagi itu hasil maklumat risikan menerusi gabungan Zon Maritim Kuala Perlis, Maritim Kedah dan Perlis serta Zon Maritim Kuala Kedah.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, lori itu ditahan selepas disyaki membawa barangan tanpa pengikraran yang sah. 

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lori itu dipandu seorang pemandu bersama dua pekerja tempatan berumur 19 hingga 47 tahun yang didapati membawa 56 kotak berwarna coklat mngandungi hampir 16,500 unit pelbagai jenis peranti vape dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Zon Maritim Kuala Perlis, di sini, hari ini. 

Romli berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan digunakan dianggarkan bernilai RM500,0000.

Katanya, semua barangan rampasan bersama tiga suspek terlibat telah dibawa ke pejabat zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan dan siasatan lanjut. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a)Akta Kastam 1967 kerana disyaki mengimport atau memiliki barang larangan tanpa kelulusan pihak berkuasa,” katanya. 

Katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang didapati terlibat dalam aktiviti penyeludupan di negara ini. 

“Rondaan dan operasi penguatkuasaan di perairan negara terus dipergiatkan bagi mengekang sebarang aktiviti penyeludupan malah tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×