KLANG: Cubaan mengisytihar barangan sebagai ‘kotak simpanan’ bagi menyeludup rokok elektronik (vape) oleh sebuah syarikat pengimport tumpas susulan pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor dalam satu operasi di Zon Bebas Pelabuhan Barat, di sini, bulan lalu.
Hasil pemeriksaan itu, JKDM merampas vape bernilai lebih RM1.3 juta termasuk cukai yang pada 9 September lalu berjumlah 30,000 unit vape yang mengandungi 9,000 liter (l) cecair nikotin dipercayai untuk pasaran tempatan.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi, berkata pengimportan cecair nikotin tanpa permit adalah satu kesalahan kerana ia tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Hasil siasatan mendapati pengimport cuba memperdaya pihak berkuasa dengan mengikrarkan barangan itu sebagai kotak simpanan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang di sebalik cubaan itu,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Dalam operasi berasingan, Mohamad Azhar berkata, pihaknya turut merampas 480 unit panel paparan Diod Pemancar Cahaya (LED) dianggarkan bernilai RM2.52 juta hasil pemeriksaan dua kontena di Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 5 Ogos lalu.
“Barangan itu tidak mempunyai permit import dan diikrarkan secara tidak benar sebagai kelengkapan perkakasan bagi mengaburi pihak berkuasa,” ujarnya.
Tambah beliau, Kastam Selangor juga menggagalkan cubaan membawa masuk 19,000 kilogram beras bernilai RM106,400 dari sebuah negara di benua Asia yang turut disyaki menggunakan helah sama apabila diikrarkan sebagai bahan kimia.
“Kita melihat trend pengisytiharan palsu ini semakin meningkat bagi mengelak cukai dan permit import. Kastam tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat,” jelasnya. – UTUSAN










