31 CCTV dibakar di Narathiwat dalam dua hari

31 CCTV dibakar di Narathiwat dalam dua hari

SEBANYAK 31 kamera litar tertutup (CCTV) di dua daerah di Wilayah Narathiwat, Thailand dibakar pihak tidak bertanggungjawab dalam tempoh dua hari sejak Rabu lalu. - GAMBAR POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Sekurang-kurangnya 31 kamera litar tertutup (CCTV) di Wilayah Narathiwat dibakar dan dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab dalam tempoh dua hari lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu terhadap tahap keselamatan di tiga wilayah selatan Thailand.

Berikutan insiden tersebut, pihak berkuasa di Narathiwat, Yala dan Pattani kini memperhebat pemantauan serta kawalan keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, tindakan sabotaj itu dipercayai sebahagian daripada usaha kumpulan tertentu untuk melemahkan sistem pemantauan keselamatan selain mencetuskan suasana tidak tenteram di kawasan berkenaan.

Katanya, kejadian paling besar berlaku pada malam Khamis lalu apabila 28 unit CCTV dibakar dan dirosakkan di 14 lokasi berasingan di Daerah Si Sakorn.

“Serangan itu berlaku antara pukul 8 malam hingga 1.40 pagi apabila beberapa individu dipercayai menyasarkan kamera pengawasan yang dipasang di laluan utama dan kawasan strategik,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Katanya, sehari sebelum itu, pada pukul 7.40 malam Rabu lepas, pihak berkuasa turut menerima laporan daripada penduduk mengenai pembakaran tiga unit CCTV di Daerah Chanae.

Susulan siri kejadian berkenaan, pasukan keselamatan termasuk polis, tentera serta agensi berkaitan dikerahkan ke lokasi untuk mengepung kawasan kejadian, menjalankan pemeriksaan serta mengumpul bukti bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab.

Sumber itu berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan tindakan tersebut berkait dengan usaha kumpulan tertentu untuk melumpuhkan sistem pemantauan keselamatan sebelum melancarkan serangan lain.

“Pihak berkuasa kini meningkatkan rondaan keselamatan dan meneliti rakaman serta bukti yang ditemukan bagi mengenal pasti dalang di sebalik kejadian ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×