PETALING JAYA: Pemilik bangunan atau kediaman yang didapati menyewakan premis mereka kepada sindiket dadah boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 33 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 107C Kanun Keseksaan kerana bersubahat.
Kesalahan tersebut boleh membawa hukuman penjara, denda, atau kedua-duanya sekali seperti yang ditetapkan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati kebanyakan sindiket dadah menjadikan premis kilang, kediaman dan pejabat sebagai tempat memproses bahan terlarang itu.
Katanya, premis itu disewa dengan kadar bayaran melalui akaun pengendali inap desa atau ejen-ejen hartanah.
“Kebanyakan pemilik-pemilik kediaman, kilang ata pejabat tidak mengetahui premis mereka dijadikan tempat memproses dadah.
“Bagaimanapun, mereka boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 33 ADB dan Seksyen 107C Kanun Keseksaan keran bersubahat dengan cara membantu atau menyediakan premis walaupun mereka tidak terlibat secara langsung.
“Kedua-dua seksyen disebabkan perbuatan termasuk perbuatan, dan ‘ketinggalan’ yang penting dalam menentukan liabiliti jenayah termasuk perbuatan bersubahat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Justeru, menurutnya, pihak polis memberi amaran kepada pemilik premis untuk mengambil tahu untuk tujuan apa premis digunakan.
Jelasnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 19 makmal dadah haram yang berjaya ditumpaskan oleh JSJN Bukit Aman.
“Sebanyak 17 makmal dikenal pasti beroperasi di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor manakala dua lagi dikesan di negeri Johor dan Pulau Pinang.
“Sindiket menggunakan premis kediaman, pejabat dan kilang bagi mengaburi pihak berkuasa dengan menyamar aktiviti sebagai urusan harian atau perniagaan sah.
“Berbanding kawasan terpencil, premis di kawasan perumahan atau industri bercampur menjadikan bau bahan kimia, bunyi mesin dan penggunaan elektrik tinggi kurang menonjol,” katanya.
Malah, katanya, premis tersebut mempunyai kemudahan infrastruktur seperti bekalan elektrik, air, sistem pengudaraan dan ruang tertutup.
“Semua elemen penting untuk memproses dadah sintetik. Selain itu, lokasi strategik berhampiran rangkaian jalan utama, pelabuhan, atau pusat logistik memudahkan pengedaran dan pergerakan bahan mentah serta produk siap.
“Menyewa rumah atau kilang kosong lebih murah dan tidak mencurigakan berbanding membina makmal khas di kawasan terpencil,” katanya. – UTUSAN










