JOHOR BAHRU: Polis sedang mengesan penjual mercun susulan kejadian seorang lelaki kudung kaki kiri akibat letupan mercun di Taman Damai Jaya, Bukit Siput, Segamat Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan awal mendapati mercun yang dibakar mangsa berusia 32 tahun itu tidak tersenarai dalam mercun yang mendapat kelulusan untuk dijual.
“Kita mendapati mercun yang dibakar oleh mangsa berada dalam kategori tidak diluluskan. Dengan kata lain, ia dibeli secara tak sah, dimiliki secara tak sah dan dibakar secara tak sah ketika kejadian berlaku.
“Justeru, kita sedang mengenal pasti penjual mercun itu bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Lapor Diri Timbalan Ketua Polis Johor serta Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat dilantik Timbalan Ketua Polis Johor baharu manakala Senior Asisten Komisioner Mohd Zairi Badderul@Badrol pula dilantik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor.
Selasa lalu, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam, mangsa dipercayai sedang bermain bunga api jenis ‘shoot cake 4(D) 16 shot (premium)’ di hadapan rumahnya sempena meraikan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supretendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail dilaporkan berkata, akibat letupan itu mangsa cedera parah sehingga kudung kaki kiri dan dikejarkan ke Hospital Segamat untuk rawatan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah sehingga putus kaki kiri. Mangsa kini berada di zon merah dan dipantau rapi oleh pasukan perubatan,” katanya.
Ab Rahaman berkata, peniaga mercun dan bunga API diingatkan supaya memastikan aspek pengimportan, penjualan, penyimpanan dan permainan mercun serta bunga api mengikut peruntukan undang-undang.
“Menerusi Pemberitahuan Larangan Bahan Letupan 2025, sebanyak 45 jenis bunga api yang dibenarkan untuk pemilikan serta pengimportan oleh Menteri.
“Justeru, peniaga berlesen yang didapati menjual bahan yang tidak disenaraikan boleh dibatalkan lesen penjualan bahan berkenaan,” katanya memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957. – UTUSAN










