IPOH: Taktik licik sindiket penyeludupan dadah antarabangsa mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan bahan terlarang itu dalam campuran simen gagal, apabila kegiatan itu berjaya dikesan.
Dadah jenis MDMA seberat 618.24 kilogram (kg) yang telah diproses menjadi ketulan simen itu dijumpai dalam serbuan di stor penyimpanan dadah yang beroperasi di sebuah rumah banglo di Jalan Tun Dr Ismail, Jumaat lalu.
Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan yang membawa kepada rampasan dadah bernilai RM37.3 juta itu, seorang lelaki dan wanita warga tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, hasil pemeriksaan di kediaman itu menemukan dadah jenis methamphetamine seberat 843.33kg dan 679.22kg cecair dan serbuk disyaki bahan kimia serta pelbagai peralatan memproses dadah.
“Pemeriksaan lanjut di kawasan tempat letak kereta kemudiannya menjumpai 618.24kg lagi dadah yang diproses menjadi ketulan simen di mana analisis yang dijalankan mendapati bahan tersebut adalah dadah jenis MDMA.
“Ini adalah kali pertama kita menemui dadah yang disembunyikan di dalam simen walaupun pelbagai teknik pernah digunakan sebelum ini termasuk mencampurkan dadah dalam jus minuman, minyak zaitun dan kanvas,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Menurut Hussein, sindiket didalangi warga asing itu dipercayai aktif sejak Disember 2024 dan menggunakan warga tempatan untuk menyewa kediaman elit sebagai lokasi strategik penyimpanan dadah selain bertindak sebagai koordinator dan penghantar (transporter)
Beliau berkata, sindiket berkenaan juga dipercayai membawa masuk bahan kimia dan peralatan memproses dadah dari negara luar dan mahu menjadikan negara ini sebagai lokasi menghasilkan bahan terlarang itu.
“Kita percaya dua suspek yang ditangkap itu telah digunakan oleh sindiket antarabangsa ini untuk membantu mereka dalam operasi stor penyimpanan dadah.
“Kita juga percaya mereka dalam proses untuk membina makmal dadah haram kerana di sini mengandungi prekursor yang kalau diproses dengan beberapa bahan kimia akan menjadi dadah selain terdapat juga dadah yang telah diproses.
“Kalau kita lambat bertindak, premis ni akan menjadi sebuah makmal dadah haram yang boleh memproses dadah dalam jumlah yang besar,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan seorang lelaki warga China yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan di mana suspek direkodkan keluar masuk Malaysia sebanyak lima kali dengan kemasukan terakhir pada Ogos 2025.
“Hasil semakan dengan Biro Narkotik Hong Kong mendapati individu ini mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes dadah. Pihak berkuasa Hong Kong kini bekerjasama dengan kita untuk mengesan dan menangkap suspek,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, dua suspek yang ditahan dan positif dadah jenis methamphetamine itu, direman selama 13 hari hingga Khamis depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN










