ALOR SETAR: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, seorang pesara jurutera sekali lagi menjadi mangsa penipuan dalam talian dan rugi RM108,001 selepas terperdaya dengan iklan kononnya dapat membantu dia mendapatkan semula wang yang ditipu sebelum ini.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, Deputi Superintenden Jasmani Sabrini berkata, pihaknya menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima laporan berhubung kes itu pada pukul 12.09 tengah hari, Ahad lalu.
Katanya, kejadian bermula pada 16 Mei tahun lalu apabila pengadu berusia 54 tahun melayari Facebook sebelum tertarik dengan satu iklan yang menawarkan bantuan kepada mangsa penipuan.
“Pengadu kemudian menekan pautan iklan tersebut dan meninggalkan nama serta nombor telefon sebelum dimasukkan ke dalam aplikasi WhatsApp.
“Pengadu diminta mengisi butiran peribadi kononnya bagi tujuan permohonan dan diminta membuat bayaran pendahuluan untuk membuka fail sebelum proses bantuan dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pengadu seterusnya membuat lapan transaksi pindahan wang secara dalam talian daripada akaun Maybank miliknya ke beberapa akaun bank berbeza atas nama individu dan syarikat berlainan antara 28 Mei hingga 18 Jun tahun lalu.
“Sehingga laporan dibuat, pihak tersebut masih meminta bayaran tambahan dengan alasan bagi mendapatkan semula wang pengadu,” ujarnya.
Katanya, siasatan lanjut mendapati pengadu sebelum ini pernah menjadi mangsa penipuan dan tiga kertas siasatan telah dibuka melibatkan kes pinjaman wang tidak wujud iaitu di Sungai Petani dan Padang Serai membabitkan kerugian RM32,267.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan iklan dalam talian yang menawarkan bantuan mendapatkan semula wang daripada sindiket penipuan. – UTUSAN










