KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertemu dengan keluarga kepada tiga suspek yang ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka, pada 24 November lalu bagi merakam keterangan.
Salah seorang ahli keluarga suspek yang ditembak turut membawa telefon bimbit yang mengandungi audio rakaman perbualan ketika hari kejadian.
Peguam mewakili tiga keluarga berkenaan Rajesh Nagarajan berkata, audio rakaman itu dibawa untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat dari Pasukan Khas Jabatan Siasatan Jenayah, yang diumumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu sebelum ini.
Dia turut menuntut supaya pihak polis mendedahkan nama pegawai yang dilantik mengganggotai Pasukan Khas berkenaan.
“Ia penting kerana keluarga mangsa mahukan ketelusan dalam siasatan kes ini.
“Keluarga individu yang ditembak juga turut mempersoalkan status anggota yang menembak mati ahli keluarga mereka sama ada masih bertugas atau sudah digantung sementara siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam sidang akbar sebelum memasuki Bukit Aman bersama pihak keluarga.
Katanya, semua anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu perlu digantung kerja dan didakwa dengan segera selepas siasatan selesai bagi mengembalikan kepercayaan awam terhadap pasukan berkenaan.
Dalam kejadian pukul 4.30 , tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Akibat serangan suspek, anggota polis berpangkat koperal, berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.
Kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dikesan dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024.
Ketiga-tiga mereka disyaki melakukan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan membabitkan kerugian RM1.35 juta.
Pada 3 Disember lalu, media melaporkan ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pihak polis.
Susulan itu, JSJ kemudian menubuhkan satu pasukan khas untuk mengambil ih siasatan bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki terbabit yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis. – UTUSAN










