Ikan hiasan, haiwan dilindungi dirampas dalam operasi bersepadu di Jalan Pudu

Ikan hiasan, haiwan dilindungi dirampas dalam operasi bersepadu di Jalan Pudu

SUHANAH Kassiron (tengah) menunjukkan hasil sitaan ikan hiasan yang dilarang semasa sidang media hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelbagai jenis ikan hiasan dan haiwan dilindungi dirampas pihak berkuasa dalam operasi bersepadu di sekitar Jalan Pudu di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Suhanah Kassiron berkata, hasil pemeriksaan, enam buah premis di sekitar kawasan itu didapati telah melakukan kesalahan kerana tidak memiliki permit dan lesen sah untuk menjalankan aktiviti akuakultur.

“Sebanyak 675 jenis ikan larangan telah kita rampas dan antaranya ialah ikan Arapaima, Sturgeon, Midas, Peacock Bass, udang kara Cambaridae, Baung Ekor Merah Amazon, Pacu,  serta Flowerhorn dan kesemua ikan hiasan tersebut dianggarkan bernilai RM35,674.00.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Operasi ini adalah hasil kerjasama antara Jabatan Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB),” katanya pada sidang akhbar operasi berkenaan di Balai Polis Pudu di sini hari ini.

Tambah Suhanah, haiwan yang dirampas tersebut merupakan spesies berisiko tinggi menjadi haiwan invasif sekiranya dilepaskan.

Katanya, spesies invasif berkenaan boleh mengancam populasi ikan tempatan kerana sifatnya agresif dan mampu membiak dengan cepat, terutama jika dilepaskan ke sungai atau tasik.

“Kesemua hidupan akuatik yang dirampas akan ditempatkan di Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor di KLIA untuk tindakan lanjut.

“Operasi bersepadu itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan pengusaha premis terhadap peraturan berkaitan pemilikan dan penjualan spesies hidupan akuatik,” katanya.

Selain itu, Penolong Pengarah Perhilitan, Celescoriano Razond berkata, dalam operasi tersebut, sebanyak 304 ekor labi-labi dan kura-kura yang berada di bawah perlindungan undang-undang turut dirampas pihaknya.

Menurutnya, nilai keseluruhan 304 ekor labi-labi dan kura-kura berkenaan dianggarkan mencecah RM300,000.

“Berhubung semua haiwan yang dirampas, kami akan menunggu arahan mahkamah sama ada perlu untuk dilupuskan atau dilepaskan kembali ke habitat asal.

“Jika perlu, pihak kami akan menghubungi negara asal haiwan berkenaan untuk mengetahui sama ada mereka bersetuju menerima haiwan tersebut atau sebaliknya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini