Bapa lapor polis anak hadapi gangguan seksual jurulatih sukan

Bapa lapor polis anak hadapi gangguan seksual jurulatih sukan

BAPA kepada seorang pelajar perempuan membuat laporan polis terhadap jurulatih sukan disertai anaknya yang didakwa melakukan gangguan seksual di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki membuat laporan polis terhadap jurulatih sukan disertai anak perempuannya yang didakwa melakukan gangguan seksual sejak beberapa bulan lalu.

Bapa berusia pertengahan 40–an yang enggan dikenali itu berkata, perubahan ketara berlaku terhadap mangsa yang berusia 15 tahun apabila tidak mahu lagi menyertai sukan terbabit yang diceburinya sejak tiga tahun lalu.

“Saya dan isteri hairan mengapa perkara ini terjadi secara tiba-tiba kerana dia memang minat dengan sukan tersebut sehingga meraih pelbagai pingat dan anugerah dalam kejohanan disertainya selama ini.

“Lama-kelamaan baru kami tahu dia mengalami gangguan seksual oleh jurulatih terbabit ketika sesi latihan sukan itu kerana diminta mengurut badannya,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Lelaki itu berkata, anaknya menyedari perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku setelah mengikuti ceramah pencegahan seksual yang dianjurkan pihak sekolah pada September lalu.

“Bayangkan selama beberapa bulan ini anak tidak berani cerita perkara sebenar hingga akhirnya baru dia maklumkan kejadian terbabit sebelum kami terus melakukan laporan polis pada 20 Disember lalu,” ujarnya.

Katanya, selain laporan polis, aduan turut dibuat terhadap jabatan lain yang terlibat termasuk pertubuhan sukan tersebut kerana jurulatih itu memiliki ramai anak murid yang dilatihnya.

“Tujuan saya tampil adalah untuk mengelak spekulasi serta penyebaran maklumat palsu dalam kalangan masyarakat. Saya ingin tegaskan kes ini tidak melibatkan perbuatan rogol atau serangan seksual, namun sentuhan fizikal yang tidak sesuai dan menyebabkan anak saya sangat tidak selesa.

“Penentuan salah atau benar akan ditentukan oleh pihak polis melalui siasatan dan tindakan undang-undang yang sewajarnya, tetapi mengapa seorang jurulatih lelaki boleh meminta pelajar perempuan bawah umur untuk mengurut badannya. Adakah ini selaras dengan prinsip perlindungan kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu, Sabtu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Kita akan mengambil keterangan daripada jurulatih terbabit sebaik dia pulang ke negara ini, ” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×