PUNCAK ALAM: Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad akan memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh terdekat berkaitan siasatan projek Pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Adam telah memberi jaminan untuk memberikan kerjasama penuh dengan pihaknya.
“Sebelum ini Adam tidak ada dalam negara, jadi kita perlukan bantuan beliau, jadi SPRM sudah berhubung dengan beliau dalam tempoh terdekat baru-baru ini.
“Beliau juga telah beri maklum balas kepada SPRM DAN peguamnya iaitu Tan Sri Shafie Abdullah juga ada menghantar surat kepada kita memberi jaminan berkaitan perkara itu,” katanya ketika ditemui dalam program SPRM – UiTM Inspira 2025: Hari Integriti & Kepimpinan di UiTM Cawangan Puncak Alam di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Adam membantu siasatan berkaitan projek Pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) bermula dari Persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA.
Sebelum ini, Adam turut disiasat berkait projek Jana Wibawa, bagaimanapun mahkamah melepaskan serta membebaskannya daripada 12 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh bahawa SPRM bersetuju menawarkan kompaun sebanyak RM4.1 juta kepada Adam Radlan berdasarkan representasi yang dikemukakan. – UTUSAN










