Tuntutan persatuan pengendali lori bercanggah undang-undang - CILTM

Tuntutan persatuan pengendali lori bercanggah undang-undang – CILTM

MUHAMMAD ZALY SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permintaan beberapa persatuan pengendali lori agar kerajaan mengkaji semula mata demerit pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas, disifatkan bercanggah dengan prinsip undang-undang.

Selain mata demerit, mereka turut meminta kerajaan mengkaji semula saman permit majikan, had masa operasi, penyelarasan had berat dengan muatan (BDM), penyelarasan had ketinggian muatan dan pengurangan saman kepada kadar minimum.

Presiden Institut Pengangkutan dan Logistik Berkanun Malaysia (CILTM), Prof. Dr. Muhammad Zaly Shah berkata, tuntutan berkenaan bukan sahaja melemahkan integriti penguatkuasaan, malah menjejaskan pengendali yang mematuhi peraturan dan menjalankan operasi secara bertanggungjawab.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius tuntutan yang dikeluarkan beberapa kumpulan pengendali lori kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan menggesa supaya tuntutan itu ditarik balik kerana dasar awam tidak boleh dibentuk melalui tekanan atau ancaman.

Katanya, Menteri Pengangkutan berada pada landasan tepat apabila mengutamakan keselamatan kerana lori dan kenderaan berat berperanan besar dalam rantaian bekalan negara, namun boleh memberi kesan besar sekiranya operasi dilaksana melebihi had dibenarkan.

“Prinsip kelakuan berasaskan undang-undang adalah asas kestabilan masyarakat. Pengendali yang bertanggungjawab dan mematuhi peraturan tidak boleh diletakkan dalam keadaan yang merugikan hanya kerana adanya desakan untuk diberikan kelonggaran menyeluruh.

“Muatan berlebihan, penyelenggaraan tidak teratur dan amalan tidak mematuhi peraturan menyebabkan kemalangan yang boleh dielakkan, kehilangan nyawa dan kerosakan infrastruktur bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Zaly berkata, standard keselamatan perlu dikuatkuasakan secara konsisten di semua mod pengangkutan termasuk penerbangan, maritim, rel dan jalan raya kerana tertakluk kepada terhadap undang-undang yang sama.

Katanya, Malaysia tidak boleh kembali kepada keadaan di mana amalan tidak selamat menjadi kebiasaan operasi.

“CILTM mengakui tekanan ekonomi dihadapi pengendali, namun sebarang reformasi perlu berlandaskan undang-undang, keselamatan dan kepentingan negara dengan dialog terus dilakukan secara berstruktur,” katanya.

Tambah beliau, antara cadangan CILTM termasuk penguatkuasaan keselamatan berterusan, program pemulihan pematuhan berstruktur serta tanggungjawab lebih tegas terhadap pengirim dan penerima yang memaksa operator membawa muatan tidak sah.

“Terdapat kepentingan memperluaskan kapasiti kargo rel bagi mengurangkan kebergantungan kepada lori untuk jarak jauh serta meningkatkan ketahanan rantaian bekalan negara.

“Keselamatan tidak boleh dirunding, tuntutan yang menjejaskan pematuhan adalah tidak boleh diterima dan reformasi logistik perlu diteruskan sebagai salah satu keutamaan semua pihak,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori SeMalaysia dan Persatuan Pemandu-Pemandu Lori SeMalaysia memberi tempoh 48 jam kepada Menteri Pengangkutan untuk menjawab 26 perkara dituntut dalam memorandum yang diserahkan di Parlimen, Rabu lalu.

Aktivis sosial yang mewakili kedua-dua persatuan berkenaan, Datuk Dr. Kalai Vanar berkata, kerajaan melalui kementerian diterajui Menteri Pengangkutan perlu mengkaji semula beberapa pelaksanaan undang-undang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana didakwa menekan kumpulan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN