PETALING JAYA: Polis Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak 49,289 Notis Advokasi OP Patuh Undang-Undang (OP PUU) atas pelbagai kesalahan lalu lintas di sekitar ibu negara dalam tempoh bermula 6 September hingga semalam.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, bagaimanapun, sebanyak 7,000 notis dikeluarkan dalam tempoh dua hari ini.
Menurutnya, jumlah pecahan penyampaian notis advokasi adalah 2,590 ke atas motosikal, 3,235 motokar, van (190), lori (162), teksi (43) dan pejalan kaki (43).
“Kesalahan yang dikeluarkan notis terbabit seperti halangan lalu lintas ( 2,879), mengabaikan isyarat lalu lintas (1,692), tidak mengikut lintasan pejalan kaki (780) dan berhenti di petak kuning (202) serta nombor pendaftaran kenderaan kotor, kabur atau ‘fancy’ (687).
“Selain itu, kesalahan lain ialah tidak memakai tali pinggang keledar (81), dan mengubahsuai motosikal (162), tidak pakai topi keledar (336) dan berhenti lebih garisan putih (181),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Untuk rekod, Op PUU yang dilaksanakan bermula 6 September lalu menumpukan aspek pendidikan, pembabitan komuniti, pengurangan kesesakan akibat sikap pengguna jalan raya dan usaha pencegahan jenayah.
Operasi itu juga bertujuan menanam kesedaran jangka panjang mengenai kepentingan keselamatan jalan raya. – UTUSAN








