PETALING JAYA: Usaha mengesan tujuh warga Malaysia yang diburu pihak berkuasa Kemboja berhubung kegiatan penipuan siber berjumlah RM130 juta yang berpusat di negara itu sedang giat dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kesemua mereka yang terlibat kini berada dalam senarai dikehendaki.
“Kesemua tujuh suspek warga Malaysia disenaraikan dalam senaraLogo polisi orang yang dikehendaki bagi tujuan tangkapan dan siasatan lanjut.
“PDRM komited memperhebat usaha pengesanan dengan menjalin kerjasama erat bersama agensi penguat kuasa dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Pasukan Polis Singapura (SPF) mendedahkan bahawa seramai 27 warga Singapura dan tujuh rakyat Malaysia disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah siber bernilai RM130 juta yang berpangkalan di Kemboja.
Menurut SPF, operasi penguatkuasaan bersama Polis Kebangsaan Kemboja (CNP) dilancarkan pada 9 September lalu terhadap kumpulan jenayah terancang (OCG) yang menyamar sebagai pegawai kerajaan dan menyasarkan mangsa di Singapura.
Susulan operasi awal di Kemboja, SPF memaklumkan bahawa 15 suspek terdiri daripada 12 rakyat Singapura, dua rakyat Malaysia serta seorang warga Filipina ditahan di Singapura dan didakwa pada 11 dan 12 September lalu atas pertuduhan menjadi ahli OCG yang berpangkalan di negara itu.
Hasil siasatan lanjut dan bukti yang dikumpul di Kemboja, SPF mengenal pasti tambahan 27 rakyat Singapura dan tujuh rakyat Malaysia yang dipercayai turut menjadi anggota kumpulan sama serta beroperasi dari pusat penipuan yang sama di Phnom Penh. – UTUSAN










