PETALING JAYA: Tiga individu termasuk bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah.
Selain Shamsul turut ditahan iaitu ahli perniagaan Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing serta seorang wanita, Sofia Rini Buyong.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan segera memandangkan kes berkenaan berkepentingan awam dan perlu ditangani tanpa memberi ruang kepada mana-mana pihak memanipulasikan keadaan.
Kata beliau, Sofia Rini ditahan pada 27 kira-kira pukul 10.30 malam semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk memberi keterangan.
“Hari ini, permohonan reman terhadap Sofia Rini telah dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan wanita itu direman empat hari sehingga Isnin ini.
“Bagi Albert, pada awalnya dijadualkan hadir memberi keterangan pada 1 Disember namun diminta hadir lebih awal, namun enggan berbuat demikian serta tidak memberikan kerjasama kepada pegawai penyiasat SPRM,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok rasmi SPRM, di sini hari ini.
Kata beliau, Albert ditahan pada pukul 10.15 pagi tadi di kediamannya.
Selain, SPRM turut menyerahkan notis Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert yang membolehkan pihak berkuasa menafikan haknya untuk berhubung dengan peguam atau mana-mana pihak lain ketika siasatan dijalankan.
Azam memaklumkan, Shamsul Iskandar pula ditahan pada pukul 12.51 tengah hari selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM.
“Permohonan reman terhadap Albert dan Shamsul Iskandar dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok,” jelasnya.
Azam menegaskan siasatan akan dilakukan secara profesional dan adil mengikut lunas undang-undang, selain menasihatkan semua pihak agar tidak membuat spekulasi.
Katanya, mana-mana pihak yang mahu mempertikaikan tindakan penahanan tersebut berhak berbuat demikian di mahkamah.
“Pegawai penyiasat SPRM akan melengkapkan keseluruhan siasatan dalam tempoh seminggu untuk dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara bagi keputusan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN










